Monday, October 20, 2008

SIKAP SEORANG MUSLIM TERHADAP JIRAN DAN TETAMU


عن أبى هريرة رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من كان يؤمن بالله واليوم الأخر فلا يؤذ جاره,
ومن كان يؤمن بالله واليوم الأخر فليكرم ضيفه, ومن كان يؤمن بالله واليوم الأخر فليقل خيرا أو ليصمت .
Daripada Abu Hurairah R.anhu berkata, RasuluLlah SAW bersabda “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka ia tidak menyakiti jirannya, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan tetamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata sesuatu yang baik atau ia senyap. ( H.R Bukhari )

Di dalam Al-quran Allah SWT menyuruh manusia supaya berbuat ihsan terhadap jiran-jiran mereka selepas dari mengabdikan diri kepada Allah dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa. Firman Allah SWT :
واعبدوا الله ولا تشركوا به شيئا وبالوالدين إحسانا وبذى القربى واليتامى والمساكين والجار ذى القربى والجار الجنب والصاحب بالجنب وابن السبيل وما ملكت أيمانكم
Maksudnya Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia Dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga Yang dekat, dan jiran tetangga Yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir Yang terlantar, dan juga hamba Yang kamu miliki. (An-Nisa’ 36)

Diantara ihsan itu ialah memelihara kehormatan jiran, menjaga keturunan dan tidak melakukan sebarang bentuk kejahatan samada dengan lidah, tangan dan mata. Termasuk juga didalam ihsan itu ialah memperbetul atau menegur kesalahan yang dilakukan oleh jiran atau menjelmakan konsep Amar Makruf Nahi Munkar terhadap jiran-jiran kita.

Termasuk didalam ihsan juga ialah melihat kepada keperluan hajat jiran. Selaku seorang muslim perlu merasakan kesusahan yang dihadapi oleh jiran adalah kesusahan mereka bersama.Sabda Nabi SAW:
مثل المؤمنين فى توادهم وتعاطفهم وتراحمهم مثل الجسد إذا اشتكى منه شيء تداعى له سائر الجسد بالسهر والحمى
Maksudnya: Perbandingan orang-orang yang beriman di dalam berkasih sayang seperti satu jasad yang apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka terasa sakitlah seluruh tubuhnya dan berjaga malam.

Ihsan juga ialah tidak menyakiti jiran. Sabda Nabi SAW:
(والله لا يؤمن والله لا يؤمن والله لا يؤمن , قيل: من يا رسول الله؟ قال:
الذي لا يأمن جاره بوائقه
Maksudnya: Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, ditanya (oleh sahabat) “siapa Ya RasuluLlah”?. Sabda Nabi SAW: Orang-orang yang tidak berhenti menyakiti jirannya.(H.R Muslim.Bab Iman. No 46).

Kemudian Nabi SAW menyebut kepada mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka mereka hendaklah memuliakan tetamu. Disana ulama-ulama mengajar kepada kita adab-adab terhadap tetamu. Iaitu :

Bermanis muka dihadapan tetamu.
Bercakap dalam keadaan lemah lembut.
Bersegera menghidangkan makanan dan minuman
Sehari semalam yang pertama hendaklah lebihkan makanan.
Dua hari berikutnya diberikan makan sebagaimana yang diberikan kepada keluarganya

Wallahu A’klam
211008258pm

No comments: