Friday, June 13, 2008

KEDUDUKAN SOLAT DALAM SYARIAT ISLAM - 2

6. Sembahyang menghapuskan dosa-dosa.

Dalam satu hadith yang masyhur RasuluLlah SAW telah bertanya kepada para sahabat: “Tahukan kamu sekiranya ada sungai dihadapan pintu rumah salah seorang diantara kamu, lalu ia mandi didalamnya setiap hari lima kali sehari, maka apakah masih ada kotoran yang tersisa?. Sahabat menjawab: Tidak ada yang tersisa sama sekali.

Kemudian Nabi SAW bersabda :

فذلك مثل الصلوات الخمس يمحو الله بهن الخطايا

Maksudnya: Yang demikian itulah perumpamaan sembahyang lima waktu, Allah menghapuaskan dosa-dosa dengannya.”

Jumhur ulama’ memperjelaskan bahawa dosa-dosa yang diampunkan sebagaimana yang disebut oleh Nabi SAW ialah dosa-dosa kecil dan biasa.Manakala dosa-dosa besar berhajat kepada bertaubat kepada Allah SWT.

7. Sembahyang meringankan azab kubur.

Nabi SAW melalui disebuah kawasan perkuburan lalu ia bertanya: “Siapakah penghuni kubur ini? Jawab Sahabat: Si fulan, lalu baginda bersabda:

ركعتان أحب إلى هذا من بقية دنياكم

Maksudnya: Dua rakaat sembahyang lebih dicintai oleh orang ini berbanding dengan baki kehidupan dunia kamu.”

Jika demikianlah besarnya manafaat yang dibawa oleh sembahyang dua rakaat dialam barzakh, fikirkanlah gandaan menafaat bagi orang yang menyempurnakan sembahyang-sembahyang fardhunya dan fikirkanlah nasib orang-orang yang meremehkannya.

8. Sembahyang fardhu penentu bagi penerimaan amalan-amalan lain.

Sabda Nabi SAW:

من ترك صلاة العصر فقد حبط عمله

Maksudnya: Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang Asar maka terbatallah amalannya.

Peringatan daripada Nabi SAW itu amat berat dan amat penting untuk diinsafi oleh kita semua. Sembahyang adalah asas bagi keislaman seseorang itu dan jikalau asas ini tidak diperkukuhkan maka amalan-amalan lain akan menjadi longgar.

Walaupun hadith ini hanya menyebut waktu asar, tetapi ia tetap sama dengan setiap solat fardhu yang lain. Kerana setiap solat fardhu itu adalah asas kewajipan islam. Dan meninggalkan salah satu daripadanya akan membawa akibat hukum yang sama.

9. Sembahyang adalah penentu keislaman seseorang

Sabda Nabi SAW:

العهد الذي بيننا وبينهم الصلاة فمن تركها فقد كفر

Maksudnya: Perjanjian antara kita (orang islam) dan mereka (orang kafir) ialah sembahyang. Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang maka ia telah kafir.

Sabda Nabi SAW:

بين الرجل وبين الكفر ترك الصلاة

Maksudnya: Diantara seseorang dengan kekafiran ialah meninggalkan sembahyang.

Kedua-dua hadith diatas mempertajamkan lagi firman Allah SWT:

فإن تابوا وأقاموا الصلوة وأتوا الزكوة فإخوانكم فى الدين ونفصل الأيت

لقوم يعلمون

Maksudnya: Sekiranya mereka (orang-orang kafir bertaubat) dan mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat, maka mereka adalah saudara kamu yang seagama.(At-Taubah 11).

Dalam ayat ini Allah SWT mensyaratkan bagi orang-orang kafir yang bertaubat dari kekafiran mereka dan datang memeluk islam, maka keislaman mereka hanya diterima apabila mereka mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat harta.

Bersambung….12062008729am

No comments: