Agama-agama langit, ajaran nabi-nabi ataupun dikenali juga sebagai madrasah nubuwwah adalah bertentangan dengan falsafah serta pemikiran kebendaan yang sentiasa mencanangkan bahawa hidup ini adalah segala-galanya dan hidup adalah matlamat manusia.
Falsafah kebendaan terlalu memuliakan, mengagungkan, menyambut dan tamakkan kehidupan duniawi. Ia sentiasa berusaha untuk mengisi, mengindah dan menghiasi lagi kehidupan dunia ini.
RasuluLlah SAW banyak bersabda dalam perkara ini. Diantaranya:
Sabda Nabi SAW:
اللهم لا عيش إلا عيش الأخرة
Maksudnya: Ya Allah, tidak ada kehidupan melainkan kehidupan akhirat. (H.R Bukhari dalam kitab Ar-Riqaq)
Sabda Nabi SAW:
اللهم اجعل رزق أل محمد قوتا (وفى الرواية) كفافا
Maksudnya: Ya Allah, jadikanlah rezeki keluarga Muhammad ia sekadar cukup makan sahaja. (H.R Muslim dalam tajuk zuhud)
Sesungguhnya kehidupan baginda yang tenteram itu adalah merupakan cermin yang membayangkan akidah dan sikap tadi. Ibn Mas’ud menceritakan bahawa RasuluLlah SAW tidur diatas tikar dan ada tanda-tanda (kesan-kesan) di badan baginda. Berkata Ibn Mas’ud: “Wahai RasuluLlah, alangkah baiknya engkau menyuruh kami membentangkan untuk engkau dan kami membuat sesuatu untuk engkau.Sabda Nabi SAW:
مالي وللدنيا وما أنا والدنيا إلا كراكب استظل تحت شجرة
ثم راح وتركها
Maksudnya: Apakah yang boleh aku lakukan dengan dunia ini.Bandingan aku dengan dunia ini cumalah laksana seorang pengembara yang bernaung sebentar dibawah sepohon pokok, setelah itu ia meninggalkan pokok itu untuk meneruskan semula perjalanan.( H.R Ahmad,Tarmizi dan Ibn Majah).
Madrasah Nubuwwah yang dibina oleh Rasulullah SAW amat berbeza dengan Madrasah Maddiyyah. Pakej mata pelajaran yang diajar di Madrasah Nubuwwah melangkaui persoalan dunia dan akhirat,hidup dan mati, syurga dan neraka, menjadikan manusia sentiasa berwaspada didalam gerak geri mereka didunia ini.
manakala madrasah Maddiyyah menjadikan dunia sebagai tempat mereka berseronok, menikmati anugerah Allah sehingga lupa kepada penciptanya. Akhirnya mereka lemas dalam kemewahan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Persoalan mati, neraka dan akhirat tidak termasuk didalam agenda mata pelajaran mereka.
Oleh itu, saudara perlu memilih madrasah manakah yang boleh memberikan kebaikan semasa hidup dan selepas mati. Pilihlah, samada mahu berdaftar di Madrasah Nubuwwah yang suatu masa dahulu Nabi Muhammad adalah mudirnya dan sekarang mudirnya adalah dikalangan ulama’-ulama’ atau Madrasah Maddiyyah yang dulu kini dan selamanya mudirnya adalah syaitan Laknatullah.
No comments:
Post a Comment