Saturday, January 16, 2010

ISMAIL SABRI DAN GULANYA



(Ulasan kepada Bernama)

SIK: (Bernama) Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen daripada RM1.45 sekilogram kepada RM1.65 sekilogram bermula 1 Januari lalu perlu dilihat secara positif oleh rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya pengguna perlu mengurangkan pengambilan gula dalam diet harian kerana masyarakat sudah sedar kesan terhadap kesihatan yang bakal dihadapi sekiranya pengambilan gula tidak dikawal.

"Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Diabetis Malaysia, seramai 1.2 juta rakyat menghidap penyakit kencing manis," katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Kempen Kurangkan Pengambilan Gula dan Pelancaran Kobera Peringkat Negeri Kedah, di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pula menyatakan bahawa untuk sehari hanya tujuh sudu gula sahaja diperlukan dalam makanan dan minuman.

"Jadi, kenaikan harga gula ini bukanlah satu bebanan tetapi untuk kebaikan kesihatan dan masa depan rakyat Malaysia," katanya.

Ismail berkata, sepanjang tahun lepas, kerajaan menanggung subsidi sebanyak 60 sen untuk setiap sekilogram gula dan jika harga gula tidak dinaikkan tahun ini, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM1 bagi setiap 1kg.

Mengenai Koperasi Bela Rakyat (Kobera) yang dilancarkan hari ini, beliau berkata ia sejajar dengan gagasan 1Malaysia dan teras ketiga misi nasional iaitu mengatasi masalah kemiskinan tegar dan ketidakseimbangan sosio-ekonomi di kalangan rakyat.

"Kobera memberi fokus kepada usaha-usaha membangun ekonomi golongan miskin dan seterusnya membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan," katanya.

Beliau berkata, konsep Kobera adalah mengumpul dan menggalakkan rakyat yang kurang berkemampuan untuk bekerjasama menubuhkan koperasi bagi membantu meningkatkan ekonomi seterusnya menambah sumber pendapatan.

"Setiap Kobera akan diberikan bantuan sebanyak RM30,000 yang berupa geran pelancaran setelah mengenalpasti projek yang akan dijalankan tetapi jika jumlah peruntukan itu tidak mencukupi, mereka boleh membuat pinjaman tanpa dikenakan faedah sebanyak RM50,000 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)," katanya.

Ismail berkata sebanyak 205 Kobera telah berdaftar, manakala 184 lagi masih dalam proses penubuhan dan sebanyak 38 Kobera telah pun diluluskan bantuan yang bernilai RM1.14 juta oleh SKM.

"Untuk negeri Kedah, sebanyak tiga buah Kobera telah mendapat kelulusan kemudahan ini iaitu Kobera Kuala Nerang, Kobera Guar Cempedak dan Kobera Bukit Kayu Hitam," katanya. BERNAMA

Ulasan: Nampaknya semakin banyak Pemimpin UMNO bercakap, makin ramai terzahir mereka yang rendah IQ yang jadi menteri.Mungkin kedepan ni DS Dato' Najib boleh tukar spesis seumpama ini. Gula di naikkan dari RM1.45 kepada RM1.65 dengan alasan mereka yang kena kencing manis telah menjangkau 1.2 Juta orang. Yb Ismail sabri jangan buat tak tahu,penyakit kencing manis ni bukan dengan sebab gula sahaja,Nasi pun boleh bawa kencing manis.Begitu juga dengan roti, buah-buahan jeruk dan bahan-bahan tenusu.Sebab itu jangan hanya dipersalahkan kepada gula sahaja.sebenarnya kenaikan harga gula tidak akan menyelesaikan masalah kencing manis.Buktinya rokok,walaupun sudah berkali-kali kerajaan menaikkan harga rokok tetapi penghisapnya semakin ramai.Kenaikan harga gula ini akhirnya menindas golongan-golongan bawahan. Contohnya peniaga warung, mereka buat air pakai gula, kuah-kuah makanan guna gula, roti canai dan sebagainya. Peniaga akan menaikkan harga makanan mereka dan yang menjadi mangsa ialah pembeli-pembeli diperingkat bawahan.Untuk mengelak dari penyakit ini, kerajaan perlu menjalankan kempen dari masa ke semasa untuk menjauhkan dari penyakit ini.Saya ingat cara Yb Ismail ini adalah cara untuk mengaut untung dari kedhaifan rakyat yang sudah tentu memerlukan kepada bahan asas itu.

No comments: