Monday, May 31, 2010

SAHABATKU BERBANGSA MELAYU DI KHIANATI OLEH PEMBELA BANGSA MELAYU


Di masa yang terluang ini, suka saya pamerkan luahan hati sahabat saya iaitu Sdr Mohd Fadly Mohd Ramly ( Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang(Gambar) ) yang menggambarkan bahawa slogan UMNO untuk membela melayu adalah pura-pura sahaja. Bahkan melayu juga yang ditindasnya.

Politik balas dendam dan nafsu jahat para pimpinan UMNO Pahang rupanya tidak berakhir atas pentas politik. Sikap rakus dan jamban inilah yang menjadi anutan mereka terhadap musuh politik mereka tanpa menyedari bahawa politik ala zaman batu itu makin dibenci rakyat.

Sewaktu sambutan Aidilfitri tahun lepas, saya telah dimaklumkan oleh Pegawai MARA Daerah Rompin, bahawa Kerajaan Pahang minta saya keluar dari pejabat premis MARA yang saya sedang sewa sekarang.

Untuk rekod, saya telah menyewa sebuah premis MARA untuk saya mula bertapak sebagai sebuah firma guaman sekitar tahun 2007, Tetuan Mohd Fadzli & Co. Pemilihan saya sebagai penyewa juga melalui saluran yang sah iaitu secara temuduga. Tiada kabel,tiada orang dalam. Saya diterima sebagai penyewa secara merit walaupun terdapat ramai penyewa lain yang turut memohon. Sebagai seorang yang baru mula mengenal erti dunia perniagaan dan bertatih, sudah tentulah mengharap sebuah premis mampu sewa seperti MARA.

Saya menyewa tanpa sebarang masalah. Sewa sentiasa berbayar. Tiada Tunggakan. Rekodnya cemerlang. Dulunya Arked MARA sunyi dan hampir tidak dikenali kalau tiada Pejabat Pos Rompin bermukim di sini. Bukan mendabik dada, tetapi selepas pejabat peguam saya mula beroperasi yang merupakan pejabat peguam pertama di Rompin, Arked MARA meriah sekali kalau tidak hingar bingar pun sesesak pasar malam chow kit.

Kini, UMNO peralatkan MARA untuk usir saya. Semua ini kerana saya bekas calon PAS dalam dua siri pilihanraya lalu. Ditambah perit pula bila saya sering memekakkan telinga pemimpin UMNO dengan berdiri secara terbuka mengecam kezaliman dan salah laku pemimpin UMNO dan Barisan Nasional di pentas-pentas Pakatan Rakyat.

UMNO makin pedih bila saya mengheret perangai korup mereka ke Mahkamah. Kes Ketua Penerangan UMNO Rompin saman Dato' Jamaluddin Jarjis (Ketua UMNO Bahagian Rompin), Saman terhadap anak syarikat Kerajaan Pahang kerana lambat serah milik (late delivery), Saman terhadap Kerajaan Malaysia berhubung isu pelatih dirogol jurulatih dan pelatih mati dalam latihan, Saman terhadap Polis kerana menghalang ceramah di Muadzam Shah bersama-sama peguam Hanipa Maidin disamping membantu syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd yang menang saman RM6 juta terhadap Kerajaan Pahang adalah antara rentetan perangai jahat UMNO yang didedah di Mahkamah.

Saya ingin tegaskan, bahawa tindakan penyingkiran saya adalah kerana dendam kesumat politik kotor UMNO/Barisan Nasional. Ini adalah kerana, saya dimaklumkan Pegawai MARA Daerah dalam sambutan aidilfitri tahun lalu bahawa saya mesti mengosongkan premis sewaan saya dalam jangka masa segera. Pada hal pada ketika itu, tempoh penyewaan saya masih berbaki hampir satu tahun lagi. Saya tidak menyalahkan MARA dan kakitangannya. Tapi sifat dungu UMNO ini terserlah apabila saya dimaklumkan bahawa punca saya disingkir adalah kerana aduan pemimpin UMNO Bahagian Rompin kepada Menteri Besar.

Namun setelah berkeras dan mencabar supaya MARA mengeluarkan surat penamatan pada ketika itu juga, MARA akhirnya memaklumkan saya bahawa saya boleh terus menyewa sehingga tamat perjanjian iaitu sehingga Ogos 2010. Walau apapaun jua yang dibuat, saya tetap tegaskan penyingkiran saya adalah kerana dendam kesumat UMNO pada saya!

Inilah UMNO, sebuah parti yang kononnya perjuangkan bangsa Melayu. Saya orang Melayu. Bumiputera. Anak jati Rompin. Warga Pahang tulen. Saya menyewa dengan sebuah agensi yang bercita-cita ingin membantu orang Melayu,Majlis Amanah Rakyat (MARA). Tapi apa sudah jadi. Saya bukan komunis, bukan penjenayah, tetapi dinafikan oleh bangsa sendiri.Semata-mata berlainan fahaman politik.

Sebenarnya, sikap busuk perut UMNO Pahang ini telah bermula apabila firma guaman lama saya Tetuan M.K Othman & Co yang telah berjaya menjadi peguam panel Unit Perumahan Kerajaan Pahang. Namun apabila mendapat tahu saya menjadi rakan kongsi pemilik M.K Othman & Co, Tuan Khairuddin Othman ( sekarang Setiausaha Perhubungan PAS Selangor), hanya dengan satu panggilan telefon menamatkan khidmat "panelship" dengan Kerajaan Pahang. Nasib yang sama menimpa rakan guaman saya, Tuan Iqbal Hamdi (bekas YB Kuala Pahang) apabila beliau bertanding atas kerusi PAS dan menang. Habis semua "panelship" beliau ditarik akibat perangai UMNO ini.

Saya mendapat dokongan teguh rakan-rakan peguam Pahang untuk terus berjuang dan memastikan UMNO/BN akan dikuburkan dalam Pilihanraya akan datang. Politik bodoh UMNO ini pasti akan ditertawakan oleh rakyat dalam konstituensi Duta Besar Malaysia Bertaraf Menteri ke Amerika Syarikat. Masyarakat di barat memandang tinggi Demokrasi yang subur di sana. Bukanlah niat saya untuk berkiblatkan mereka. Tetapi sikap professional mereka dalam melayani musuh politik boleh disanjung.

Selepas musim pilihanraya, semua pihak membantu bangunkan negara, tiada istilah balas dendam. Rakyat perlu bangkit untuk menolak budaya hina ini. Ambillah contoh negeri Pakatan Rakyat, carilah satu sahaja contohnya, sekiranya ada mana-mana yang tersingkir dri premis kerajaan kerana jadi calon BN...

Friday, May 28, 2010

SEKITAR HIMPUNAN MENYERAHKAN MEMORANDUM KEPADA MB PAHANG

Pasukan polis sedang mengawal di perkarangan masjid
Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man sedang memberikan ucapan
sebelum menyerahkan memo kepada MB
Tuan Jasmani sedang memperkatakan sesuatu kepada PJ
Pahang dan dikerumuni oleh para hadirin yang hadir

Smart nampak...?kedua-dua gambar adalah gambar
SB berkeliaran ditempat himpunan...
Aiikk...MACAM CERMINN...(Dialog Sudin dalam filem Nujum
Pak Belalang apabila tengok kepala Mat Nisfu ) :)
Pimpinan Pakatan Rakyat berjalan keluar
dari Pejabat MB
Turun padang....Dato' Tuan Ibrahim mengedarkan risalah
di sekitar Bandar Kuantan
Ust Suhaimi Md Saad memperkatakan sesuatu kepada
Dato' Tuan Ibrahim
Bersama ADUN Teras setelah mengedar risalah

PADA MALAMNYA CERAMAH PERDANA
YANG DISAMPAIKAN OLEH :
Sdr Mohd Fadly Ramly (Ketua Penerangan DPP Pahang)
memulakan ucapan dengan fakta penyelewangan kerajaan Negeri Pahang
Ust Suhaimi Md Saad (Ketua DPP Negeri Pahang)
mendedahkan fakta-fakta judi
Suhaizan Kaiat (Ketua Penerangan DPP Pusat) menyampaikan
ceramahnya di Putra Balok

Wednesday, May 26, 2010

TAHNIAH DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH

Saya mewakili Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuantan mengucapkan tahniah kepada Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah kerana Berjaya menghantar memorandum judi bola kepada mufti Kerajaan Negeri Kedah

Yb Ust Mohd Nasir Zakaria (Ahli Parlimen Padang Terap) menyatakan “Terdapat 20 NGO dan pemuda dari Parti Gerakan yang bersama-sama membantah kegiatan judi bola ini. Menariknya pemuda Gerakan memberikan pandangan supaya kerajaan Negeri tidak membenarkan judi bola ini beroperasi dimana-mana premis Sport toto.”

Esok Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang akan menghantar memorandum kepada Menteri Besar Pahang pada jam 9.30 Am yang akan di ketuai oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Tuesday, May 25, 2010

KALAU POLIS BEGINI PERANGAINYA, DENGAN SIAPA LAGI KITA NAK MINTA TOLONG


GOMBAK: Undang-undang tidak mengenal sesiapa apabila tiga anggota polis dicekup selepas dikesan cuba memeras ugut seorang pemilik rumah urut dengan meminta bayaran RM10,000.

Dalam kejadian terbaru itu, ketiga-tiga anggota polis terbabit dikesan menyamar pegawai polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman untuk meminta mangsa membayar wang suapan sekiranya tidak mahu diambil tindakan.

Sumber polis berkata, suspek pergi ke sebuah premis menawarkan urutan tradisional di Batu Caves, Selayang di sini.

Menurutnya, suspek yang memperkenalkan diri anggota polis dari D7 Bukit Aman berpura-pura melakukan pemeriksaan lesen terhadap pekerja di pusat urutan terbabit.

“Difahamkan, suspek mendakwa pekerja rumah urut terbabit melakukan pelbagai kesalahan termasuk melanggar syarat permit bekerja di negara ini. Difahamkan, anggota polis terbabit mendakwa gadis warga asing yang bekerja di premis terbabit melakukan kesalahan serius dan boleh ditahan.

“Suspek meminta penyelia rumah urut terbabit yang berusia 39 tahun menghubungi majikannya bagi menyelesaikan masalah berkenaan. Difahamkan anggota polis terbabit menawarkan pelepasan sekiranya pemilik rumah urut terbabit sanggup membayar RM10,000 kepada mereka,” katanya.

Ulasan : Nampaknya makin hari makin teruk sikap anggota polis.Sedangkan rakyat menaruh harapan kepada pihak PDRM untuk menjaga keselamatan Negara, tiba-tiba mereka pula yang memeras ugut.

Jumaat lepas, perkara yang sama berlaku di Kuching Sarawak, 5 orang anggota polis telah melakukan peras ugut terhadap warga asing di bandaraya Miri.

Ianya tidak terhenti setakat peras ugut, bahkan ada anggota polis yang merogol mangsa seperti berita yang dikeluarkan oleh berita harian Online bertarikh 29/4/2010. Seorang anggota polis yang berpangkat Lans Koperal telah dihukum penjara selama 13 tahun dan 12 sebatan kerana merogol dan memeras ugut warga Indonesia pada tahun 2007.

Kalaulah berterusan seumpama ini, maka rakyat tidak ada lagi tempat untuk mereka mengadu, Negara berada dalam keadaan kacau bilau,rakyat tidak lagi selamat seperti dahulu.

Dalam kes-kes polis yang saya sebutkan diatas ada dua perkara : 1)Peras ugut. 2)Rogol.

Tak tahulah apalagi yang dikehendaki oleh anggota polis ini,gaji pun dah dinaikkan sebagaimana yang diumumkan oleh Datuk Hisyamuddin Hussein bahawa 98,747 orang anggota polis akan menikmati skim perkhidmatan baru. Seeloknya gaji yang diterima biarlah sepadan dengan tugas mereka.

Keduanya, PDRM perlu ada Kor Agama seperti askar. Untuk memberi pengajaran agama kepada mereka, barulah mereka kenal diantara halal dan haram, manusia sentiasa perlu kepada peringatan,sentiasa diperingatkan dengan persoalan syurga dan neraka.Itulah antara usaha kita untuk merubah mereka dari melakukan jenayah.

Ketiganya, Mereka yang ditemuduga untuk menganggotai pasukan PDRM bukan sahaja lulus dalam soalan-soalan akademi atau kekuatan tubuh badan,tapi ianya juga perlu lulus dalam persoalan agama.

Sekiranya persoalan agama ini ditekankan, saya yakin PDRM akan menjadi sebuah institusi yang selamat dari pelbagai bentuk jenayah kerana anggota mereka telah memahami arahan dan larangan dari agama.

Sunday, May 23, 2010

MENELITI REAKSI MASYARAKAT TENTANG JUDI,MUHYIDDIN CARI REDHA MANUSIA...

Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bulan depan kepada Berjaya Group baru-baru ini.

Muhyiddin menjelaskan, walaupun beliau belum dimaklumkan mengenai reaksi masyarakat berhubung perkara itu secara umumnya, kerajaan memberi jaminan akan sentiasa mengambil kira pandangan semua termasuk dari kalangan Islam dan bukan Islam.

Ulasan: Artikel pendek ini saya ceduk dari blog www.mutaligat.blogspot.com. Nampaknya seseorang itu bila duduk dalam UMNO yang jahil terus dengan kejahilannya manakala yang berilmu akan menjadi jahil. Contohnya :

1) Muhyiddin Yasin, terus dengan kejahilannya, masih lagi nak kaji dan meneliti reaksi masyarakat tentang judi. Bermakna beliau lebih suka mencari redha manusia dari redha Allah dalam persoalan halal haram. Firman Allah SWT :

وما كان لمؤمن ولا مؤمنة إذا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم

ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضللا مبينا
Maksudnya: Dan tidaklah harus bagi orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa Yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang jelas nyata.
(Al-Ahzab 36)

2) Jamil Khir adalah seorang yang berilmu dan beliau semasa era forum perdana dulu,dilihat orang yang tegas dalam persoalan agama. beliau dilantik sebagai senator untuk menjaga agama, Allah menguji Jamil Khir dengan isu judi, adakah imannya mampu pertahankan jiwa raganya dengan jawatan yang disandangnya. Lalu hari ini Jamil Khir dilihat seperti orang jahil, tak tahu halal haram.

Sebab itu orang tua-tua kata “ Orang cerdik ikut orang bodoh, sekali dengan yang cerdik jadi bodoh”

Hari ini kita lihat pemimpin bukan islam termasuk DAP meminta supaya dihadkan kegiatan perjudian ini. Inilah hasil berkawan dengan PAS. Sampai sekarang, sudah ada pimpinan DAP dan Keadilan yang bukan islam boleh membaca quran dan memetik hadith-hadith Nabi SAW.

Begitulah apabila ulama' dok dalam Umno, tengoklah dulu, Hamid Othman, Yusof Nor, Abdullah Mat Zain dan ramai lagi...bila dok dalam UMNO mereka menjadi ulama' bisu.Takut untuk berperanan menyatakan kebenaran.

Monday, May 17, 2010

PENYAKIT UMNO MAKIN KRONIK


Sumber berita dari :
www.selamatkanpahang.blogspot.com

TEMERLOH:
Kerana terdesak dan bimbang dengan kemaraan PAS, Umno dipercayai kembali menggunakan taktik menghantar bahan fitnah terus ke sasaran melalui pos.

Terbaru bahan-bahan dokumen yang mengandungi fitnah terhadap pemimpin parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah diterima oleh Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim tanpa alamat pengirim.

Menurut Hasanuddin, antara bahan yang terkandung dalam sampul surat besar yang diterimanya ialah dokumen yang menuduh DAP anti Melayu, fatwa mufti Datuk Seri Harussani, CD dokumentari berkaitan Nizar Jamaluddin dan sebuah buku bertajuk 50 kemusykilan tentang manusia bernama Anwar Ibrahim tanpa nama penulis, penerbit dan pencetaknya.

“Sebelum ini saya sudah beberapa kali menerima bahan pos yang dihantar ke rumah iaitu majalah Ekspresi yang mana isi kandungannya melaga-lagakan pandangan kumpulan-kumpulan dalam PAS dan dalam Pakatan Rakyat yang kebanyakannya dipetik dari blog-blog tertentu”.

“Dulu saya ingatkan mungkin bahan tersebut dihantar daripada kelompok tertentu dalam PAS atau Pakatan, sekarang dah jelas dari Umno yang tujuan utamanya cubaan untuk menceraikan PAS daripada Pakatan,” katanya ketika menemui
SelamatkanPahang di sini.

Menurut Hasanuddin yang juga Setiausaha PAS Kawasan Temerloh, bahan yang dicop di Mersing, Johor itu dipercayai telah dihantar kepada semua Setiausaha PAS Kawasan-Kawasan seluruh Pahang berdasarkan maklumat yang diterimanya.

“Ingatan saya kepada lain-lain penerima, ini jelas propaganda dan taktik jahat Umno yang seolah-olah hilang punca dan sebenarnya timbul rasa ketakutan yang amat sangat apabila Pakatan kelihatan mendahului BN”.

“Contohnya program-program penerangan yang kita anjurkan di Kerdau dan Sungai Gau baru-baru ini telah berjaya menarik puluhan ribu rakyat. Jadi mereka gunakan taktik bacul ini kerana terdesak’.

Tambah Hasanuddin, daripada membazir sehingga terpaksa berhabisan duit untuk menghadapi kemaraan PAS ini lebih baiklah mereka menumpukan pembangunan sebagaimana yang diamanahkan rakyat.

Ulasan : Berita ini saya ambil dari blog www.selamatkanpahang.blogspot.com. Nampaknya UMNO dah hilang punca berhadapan dengan PR, terpaksa menggunakan POS untuk mengempen parti mereka. Nampaknya jauh berbeza dengan Pemuda Pakatan Rakyat yang mengedar risalah dipasar-pasar malam, pekan sehari dan di masjid-masjid selepas dari solat jumaat.

Berdasarkan kerja buat mereka dengan risalah yang berbentuk fitnah ini, menggambarkan UMNO dan BN sekarang berhadapan dengan penyakit yang sangat kronik sehingga jangka hayatnya bergantung kepada tabung pernafasan fitnah. Mereka takkan mampu untuk hidup sekiranya tidak bergantung kepada tabung fitnah.

Seperti pesakit-pesakit lain juga,penyakit yang dihidapi oleh Umno dan BN ini ada pantangnya, iaitu mereka seperti cacing kepanasan bila berhadapan dengan hujjah. Sebab itulah mereka takut untuk sertakan nama dan penerbit terhadap buku yang bertajuk 50 kemusykilan tentang manusia yang bernama Anwar Ibrahim. Jadi untuk hindari dari kepanasan maka terpaksalah sembunyikan nama dan penerbit.

Walaupun sakitnya sudah kronik, UMNO/BN masih beruntung kerana masih ada ulama'-ulama' yang sanggup menggalas tabung pernafasan mereka dan masih ada orang yang sanggup memakaikan pampers kepada mereka apabila diperlukan.

SELAMAT HARI GURU BUAT SELURUH GURU-GURUKU


Dikesempatan sedikit masa yang terluang ini,rasanya masih belum terlambat untuk saya ucapkan selamat hari guru kepada guru-guru yang telah mendidik dan mentarbiyah saya sehingga mampu untuk bersama-sama dengan perjuangan islam ini.

Di Taman Islam (1986- 1989) : Jutaan Terima Kasih saya ucapkan kepada Al-Marhum Tuanguru Abdullah Salleh (Abu, Saya sempat talaqqi kitab Minhajul Abidin dan Muniyatul Musalli dengannya),Ust Zawawi Abdullah (Ayah De), Al-Marhum Ust Syafei Muda (Ayah Chik), Ust Abdul Wahab Ali, Al-Marhum Ust Sulaiman (Ust Man), Al-Marhum Ust Hasyim,Ust Razali Rani (Pokli), Ust Zakaria (Pok Ya) dan isterinya, Ust Izzuddin, Ust Shamsuddin Abdullah (Abg Din), Ust Muhammad Abdullah (Abg Mat), Ust Long Kamaruddin (Ust Long), Ust Wan Hassan, Ust Mazlan Yusuf (Pok Lang), Maulana Sabri, Ust Megat Abdul Manan.

Ust Suhaimi Shahidin (Abg Mi), Ust Fadli Awang, Ust Fauzi Shahidin (Salleh), Ust Zainuddin Mardini (Din Jawa), Ust Kamaruddin Embong (Din Spek),Ust Othman Endut (Abg Man), Al-Marhum Ust Yusuf (Pondok Lock Kaw, Kemasik), Ust Man (Kemasik), Ust Ansari mursyid (Mat Ansar), Ust Jaiz Mat Amin (Mat Jaiz), Ust Suhaimi Mat Ali (Besut), Ust Yahya Abdul Latif,Kak Nik, Kak Su.
Guru-guru ini mencurahkan bakti dan memerah keringatnya untuk saya dari kelas Rabi'e Tahdiri hinggalah ke Awwal Ibtida'ie Alif.

Di Darul Quran Rusila 1990-1997): Terima kasih tak terhingga juga kepada guru-guru yang banyak berjasa kepada saya. Selamat hari guru saya ucapkan kepada Yb Al-Fadhil Tuanguru Hj Abdul Hadi Awang, Ust Muhammad Ali- Pernah menjadi Calon di DUN Binjai (Marang), Ust Mahmood Sulaiman- Pernah menjadi Calon di DUN Langkap (Setiu),Ust Hamzah Ali- Pensyarah di N.Sembilan, Ust Yusuf Othman- Pernah menjadi calon di DUN Telemong (H.trg), Ust Asnawi Awang.(Wakaf Tapai)

Cikgu Raja Mazlan (Pak Katak BT 6), Ust Ahmad Awang-Pernah menjadi calon di DUN Tanggol (H.Trg), Ust Nukman Awang (Kg Rusila), Allahyarham Ust Abd Ghani Abdullah, Allahyarham Ust Muhammad Sulong, Allahyarham Ust Harun Endut- Warden Asrama, Ust Raja Sulong (Kbg Lembek Manir), Ust Mazlin (Bukit Tunggal, Kuala Nerus), Ust Abdullah Suhaimi Zakaria (Besut), Ust Rosli Ahmad- H.E.P D.Q, Ust Hamzah Ngah. (bukit Besar, Kuala Trg), Ust Baliat Amimi (Kuala Berang), Ust Abdul Zaman Bakri Muhammad (Jabi), Ust Syaari Zulkirnain abdul Qadir-Pernah menang di DUN Jabi, Cikgu Mohd Daik Abu Bakar

Cikgu Sidek Abu Bakar, Cikgu Sabri (Banggol Tuan Muda),Cikgu Salim Abu Bakar,Cikgu Abdul Aziz Muda,Ust Ariffin Deraman, Ust Wan Syukhairi Wan Abdullah, Ust Wan Zuki Wan Ismail, Ust Muhammad Noor Abdul Rahman (Ketua Urusan Ulama' Kaw Marang), Sheikh Nurullah Al-Kurt (Turkey), Ust Nuril Amin b. Endut (Pensyarah Petronas), Ust Fuad b. Awang (Bt 6), Ust Anwar b. Ibrahim (Dungun), Ust Abdul Rasyid Awang (Sbrg Marang),Ust Sharuddin Muhammad- (Kuantan Phg),Ust Zahari Ali,Ust Tarmizi Jaafar, Ust Abdul Fattah Awang, Ust Zahid Yusuff, Ust wan Zulkifli Wan Hassan, Ust Wan Zawawi Wan Yusuff dan Ust Nik Mohd Nor Nik Mat

Semoga Allah SWT panjangkan umur, murahkan rezeki, istiqamah dalam perjuangan dan bertemu Allah dalam keadaan berjuang diatas dasarnya yang suci.

Thursday, May 13, 2010

KISAH BIAWAK YANG BERIMAN


Diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam kitab Al-Bidayatu Wan-Nihayah bahawa Baihaqi menceritakan dari Abi Mansur Ahmad bin Ali Ad-Damghaniy dari daerah Namin di Baihaq,dalam sebuah kisah yang disampaikan dari Umar R.anhu.

"RasuluLlah sedang berjalan bersama dengan sekumpulan para sahabat,tiba-tiba datang seorang arab badwi dari Bani Sulaim kehadapan Rasulullah. Beliau membawa bersamanya seekor biawak padang pasir (dhab) yang ditangkapnya dan bercadang untuk membakar haiwan itu untuk dimakan.

Melihat ramai yang berjalan itu,beliau tertarik untuk mendekati dan bertanya siapakah gerangan yang sedang mereka iringi. Apabila diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi Nabi maka dia terus mendekati Nabi lantas berkata "Demi tuhan Lata dan Uzza,tiadalah sesuatu yang terdapat di alam ini yang lebih kubenci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa,tentulah aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat menggembirakan hatiku dan hati semua manusia yang berkulit hitam,putih dan merah serta selainnya.!”

Umar Al-Khattab menjadi marah,lalu bangkit dan berkata “Wahai Nabi! Biarlah saya mengakhiri hidupnya!”

Nabi SAW tenang menjawab permintaan Umar: “Wahai Umar! Tidakkah negkau tahu bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi Nabi?”

Nabi kemudiannya berkata kepada arab badwi itu “Apa yang menyebabkan engkau berkata demikian? Sepatutnya engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku!”

Arab badwi tersebut tidak mengalah bahkan sebaliknya berkata “Demi tuhan Lata dan Uzza! Aku takkan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah biawak ini beriman kepadamu, “ katanya sambil mengeluarkan biawak itu lalu melemparkannya kehadapan Nabi SAW.

Nabi SAW memanggil biawak itu. Kedengaran biawak itu menjawab dengan bahasa arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir “Ya wahai Nabi SAW.”

Nabi bertanya “Kepada siapakah engkau beriman?”. Jawab biawak itu “Saya beriman kepada tuhan yang dilangit itu a’rasynya,dibumi itulah kekuasaannya,dan dilautan itulah jalannya dan disyurga itu rahmatnya dan dalam neraka itu azabnya1”

Tanya Nabi lagi “aku ini siapa wahai biawak?”. Jawab si biawak “Tuan adalah utusan Allah,yang memiliki sekelian alam! Amatlah beruntung orang yang mendokong perjuangan tuan,dan binasalah orang yang mendustakan tuan!”

Mendengar kata-kata biawak itu,arab badwi itu lantas berkata “Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci,tetapi hari ini engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri,engkau amatku kasihi zahirku dan batinku.” Kemudian beliau mengucapkan kalimah syahadah dihadapan semua yang hadir.

Ulasan : Pengajaran yang boleh diambil dalam kisah ini ialah bagaimana seekor biawak (dhob) telah beriman kepada Allah SWT.bahkan menyokong perjuangan Nabi SAW. Sedangkan manusia yang telah dianugrahkan aqal masih lagi ramai yang tidak beriman kepada Allah SWT. Bahkan masih ramai yang menidakkan perjuangan untuk mendaulatkan syariat islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Sekurang-kurangnya malulah wahai manusia yang menolak dan mendustakan perjuangan Rasulullah dengan seekor binatang yang bernama biawak ini.

( Kisah ini diceduk dalam majalah Solusi bilangan 1,yang bertajuk "kerana rezeki, masuk neraka!..)

Tuesday, May 11, 2010

SEKITAR MUKTAMAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PAHANG DI PUTRA BALOK

Exco-exco Dewan Pemuda Pas Pahang berbaris menyambut
ketibaan Ust Kamal Syaari dipadang PUTRA Balok
Perasmi diapit oleh Ust Shahril Azman dan Ust Suhaimi Md Saad
semasa menyanyikan nasyid Amal.
Ust Kamal Syaari memeriksa saf perbarisan Amal Pahang
di Muktamar Dewan Pemuda Pas Pahang
Ust Kamal Syaari menyampaikan ucapan perasmian di Muktamar
Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang di PUTRA Balok
Cenderahati daripada Dewan Pemuda Pas Pahang kepada
Perasmi
Turut hadir.....Abg Aziz (Timb. YDP Pas Indera Mahkota meraikan
Ust Kamal Syaari (Exco Dewan Pemuda Pas Pusat)
Sarapan pagi....selepas selesainya Muktamar DPP Kawasan

Sessi muhasabah bermula....Perwakilan bersiap sedia untuk muhasabah
pimpinan, manakala pimpinan pula bersiap sedia untuk menjawab

DPP Kuantan (Vest Hitam) sedang mendengar
ucapan perasmian
Bergaya...DPP Jerantut yang diketuai oleh Sdr Yuhanis Ahmad
(Berbaju putih)
Saff kepimpinan Dewan Harian sedang dimuhasabah
Pegerusi Tetap yang setia berada di kerusinya sehingga
selesai muktamar...
Ust Shahril Azman (Timb.Ketua Pemuda) dan Ust Suhaimi Saad
(Ketua Pemuda) masing-masing menjawab beberapa persoalan
yang dibangkitkan

Saturday, May 8, 2010

POLIS HILANG SIFAT KEMANUSIAAN ?

(Sumber dari akhbar Kosmo)

SEREMBAN: Seorang konstabel polis digantung tugas selepas menembak remaja berusia 17 tahun, Mohd Azizi Aziz, yang enggan memberhentikan motosikalnya ketika dikejar kereta peronda di persimpangan Kampung Ujong Pasir, Jalan Seremban-Jelebu, 3.30 pagi tadi.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, konstabel berkenaan melepaskan tembakan amaran tetapi mengenai mangsa yang memecut laju dan bergerak ke kiri dan kanan jalan.

Katanya, anggota polis berkenaan yang baru berkhidmat lebih setahun, digantung tugas serta merta kerana melepaskan tembakan tanpa sebab kukuh dirinya terancam.

Saya menganggap kejadian ini sebagai kesalahan menggunakan kuasa. Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi yang telah ditetapkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara," katanya.

Mangsa yang sudah menjalani pembedahan di perut dan usus kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban

ULASAN : Polis sepatutnya menjaga keamanan dan kesejahteraan negara,tapi akhir-akhir ini nampaknya semakin ganas,hilang sifat kemanusiaan mereka sehingga sanggup menembak walaupun kesalahannya tak seberapa.Kita tak kisah sekiranya yang ditembak itu adalah perompak atau anggota polis nak menyelamatkan diri.Tetapi nampaknya seolah-olah anggota polis hendak melepaskan geram mereka kepada pesalah.

Lihatlah kes Azman dan Suwandi, mereka ditembak dengan membabi buta, selalunya terlebih dahulu polis akan menembak keudara tanda amaran.tapi kali ini peluru terus membenam tubuh Suwandi dan Azman. Begitu juga yang berlaku kepada adik Aminul Rasyid, saksi terbaru menyatakan bahawa adik Aminul Rasyid ditembak bertubi-tubi....sifat kemanusiaan,ihsan dan belas telah hilang dari jatidiri mereka.

Terbaru, adik Mohd Azizi Aziz dari Seremban juga ditembak.Saya tak faham, macamana tembak beri amaran boleh terkena mangsa.Orang beri amaran tembak keatas,tapi konstebal ni tembak mendatar.

Saya berkali-kali menafikan seorang diri dalam hati saya, bahawa polis sengaja menembak mangsa-mangsa.Tapi meleset rupanya kerana kes seorang wanita yang bernama Norizan Bt Salleh yang ditembak polis ketika berada didalam kereta,sejumlah lima tembakan yang ditujukan kepadanya, dua tembakan terkena pada lengan dan pergelangan tangan,satu pada dada dan dua lagi terlepas tetapi meninggalkan luka.Kes ini berlaku pada 30 Oktober tahun lalu

Tidak mustahil kebimbangan rakyat akan bertambah.Sebelum dari ini mereka hanya bimbang kepada perompak, peragut dan perogol sahaja,mungkin ditambah dengan bimbang dan takut kepada polis pulak berdasarkan kes-kes yang berlaku.