Friday, August 22, 2008

KEGELAPAN DAN PENERANG-2 (TAQWA)

Penerang Pertama : Taqwa.

Kegelapan yang dialami ini adalah akibat dari cinta kepada dunia lebih daripada cintakan akhirat, lalu di akhirat kelak kegelapan itu menjadi kegelapan yang hakiki, pada hari itu (hari akhirat) satu hari bersamaan dengan lima puluh ribu tahun . Diwaktu itu, mereka yang berada dalam kegelapan sangat memerlukan cahaya untuk melihat jalan untuk menuju ketempat himpunan seluruh manusia yang diarahkan berhimpun disatu tempat. Oleh itu kegelapan cinta dunia hanya dapat dihilangkan dengan lampu taqwa.

Sayyidina Ali KarramaLlah Wajhah menyebut tentang sendi-sendi taqwa yang merupakan cahaya yang boleh menghilangkan kegelapan cinta dunia di hati. Sekiranya salah satu sendi taqwa ini tidak ada bererti masih ada dihati sifat cintakan dunia. Beliau berkata “Taqwa ialah takut kepada Allah, beramal dengan isi kandung al-quran, redha dengan yang sedikit dan bersiap sedia untuk menuju ke hari akhirat” (At-Taqwa, Mardini. m/s 16)

Takut kepada Allah bererti merasa takut kepada hisabnya, hukumannya di dunia kerana kemaksiatan, takut hukumannya di alam kubur dan takut hukumannya di alam akhirat. Dengan perasaan takut yang meresapi kedalam dirinya itu, membuatkan mereka menjauhkan diri dari perkara-perkara yang haram,syubhah, menjaga waktu dengan tidak melakukan perkara yang sia-sia, yang melalaikan dan cenderung kepada perhiasan.Rasa takut inilah yang mendorong mereka supaya mengamalkan apa yang dikehendaki oleh Allah dan meninggalkan segala larangannya.

Redha dengan apa yang sedikit bermakna seseorang itu tidak mengheret diri dan waktunya untuk menambah harta benda dunia atau mencari sanjungan orang lain diatas pangkat yang ada padanya.Ia berpuas hati dengan harta yang menjaga kehidupannya dan tidak mengemis kepada manusia. Ia menggunakan waktunya untuk menghampiri diri kepada Allah

Taqwa perlu kepada Muhasabah

Sendi-sendi taqwa itu muncul selepas seseorang itu melakukan muhasabah terhadap dirinya. Sebab jiwa menyuruh kepada keburukan.Manakala muhasabah itu seumpama pengawasan diatas perbuatan seharian. Pertamanya muhasabah itu akan membersihkan amal perbuatan hariannya.lalu meningkatkan amalnya setiap kali jiwanya mengajak kepada kejahatan.

Salah seorang dari generasi tabi’in, Maimun bin Mihran,tidak mengkategorikan seseorang itu bertaqwa jika ia tidak melakukan muhasabah. Beliau berkata: “Seseorang itu tidak termasuk dikalangan orang yang bertaqwa sebelum ia melakukan muhasabah lebih ketat dari muhasabahnya terhadap perniagaannya. Mereka perlu muhasabah tentang makanannya,pakaiannya dan minumannya apakah ianya dari sumber yang halal ?

Jadi setiap kali kegelapan berusaha masuk ke hatinya, ia langsung hilang dengan muhasabah, lalu hatinya sentiasa bersinar terang dengan lampu taqwa.

No comments: