Sunday, August 31, 2008

PRESIDEN ANAK MENYERAHKAN MEMORANDUM RAKYAT DI PEJABAT FELDA RESEARCH JERANTUT

DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN DAN SDR MAZLAN ALIMAN
SEDANG BERBINCANG DENGAN PENGURUS LKWJ

MEMORANDUM DISERAHKAN KEPADA PIHAK PENTADBIRAN FELDA

AHLI ANAK SEDANG BERHIMPUN DIHADAPAN PEJABAT
FELDA WILAYAH JENGKA

DATO' TUAN IBRAHIM SEDANG BERUCAP KEPADA AHLI ANAK DILUAR
PEJABAT FELDA

PENGERUSI LAJNAH PENEROKA PEMUDA PAS PAHANG,UST SHAHRIL AZMAN ABDUL HALIM
TURUT HADIR UNTUK MENYATAKAN SOKONGANNYA KEPADA (ANAK)

SUASANA BERHIMPUN DI HADAPAN PEJABAT FELDA WILAYAH JENGKA
DI RESEARCH, JERANTUT

SDR MAZLAN ALIMAN SEDANG BERUCAP MENERANGKAN
TUNTUTAN (ANAK)

MEMORANDUM RAKYAT

DIANTARA TUNTUTAN DARI PERSATUAN ANAK PENEROKA FELDA KEBANGSAAN

1. Menyerahkan caruman wang tanam semula.
Peneroka yang mengusahakannya sendiri tanpa sebarang syarat.Tindakan terkini felda memotong wang tanam semula dengan bentuk baja adalah keterlaluan.


2. Memansuhkan Techno Plant Sdn Bhd yang mengurus kebun peneroka begitu banyak sungutan terhadap tahap kecekapan pengurusan kebun, perlukan mekanisme lain termasuk peranan koperasi felda.


3. Menghentikan amalan diskriminasi terhadap peneroka felda yang mengurus sendiri kebun mereka.Dinafikan geran hakmilik, bantuan pendidikan, subsidi ternakan, tandatangan sokongan dan lain-lain.


4. Menyegerakan pemberian lot tanah kosong kepada generasi kedua dan dibuat dengan cara telus. Mempolitikkannya untuk kepentingan undi dalam pilihanraya adalah sangat tidak wajar yang menghakis kepercayaan rakyat.


5. Mengkaji semula dasar Felda Plantation yang menzalimi pesertanya yang kebanyakannya adalah generasi kedua. Jaminan dalam bentuk tanah dan rumah kediaman mesti diambil tindakan segera.


6. Bebaskan Felda dan badan-badan Felda seperti JKKR,GPW, Belia dan lain-lain daripada menjadi alat politik Barisan Nasional.Sebagai sebuah negara demokrasi, kebebasan bersuara adalah dijamin dibawah perlembagaan persekutuan.Bebaskan peneroka dari kongkongan berpolitik dan berpersatuan agar perpaduan dalam masyarakat terpelihara.


7. Kembalikan semula jawatan penyelia agama dengan peranan yang lebih berkesan bagi menangani masalah gejala sosial yang begitu kritikal di sesetengah rancangan felda.Penyelarasan dengan badan agama dan masyarakat dalam mengisi program kerohanian sangat mendesak ketika ini.


Mazlan Aliman
(Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK))



Wednesday, August 27, 2008

KEHEBATAN PUASA

KEHEBATAN PUASA
PUASA DAPAT MENGAMPUNKAN
DOSA


Diantara kelebihan puasa yang besar ialah terampun dosa-dosa yang lalu.
Sabda Nabi SAW:
عن أبى هريرة قال :من صام رمضان وقامه إيمانا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه,ومن قام ليلة القدر إيمانا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه
Maksudnya: Daripada Abi Hurairah R.anhu berkata: Barangsiapa yang berpuasa dibulan ramadhan dan mendirikannya (iaitu berjaga malam dengan mengerjakan ibadah)dengan percaya dan menuntut pahala, maka diampunkan dosanya yang terdahulu. Barangsiapa yang bangun dimalam lailatul qadar (dengan melakukan ibadah) dengan percaya dan menuntut pahala, maka diampunkan dosanya yang terdahulu.

RAHSIA PUASA

Telah disebut oleh ulama’-ulama’ tentang rahsia puasa, iaitu :

1.Sedikitkan makan dan minum, disamping itu ia dapat mengurangkan diri dari kelazatan disebabkan kekuatan yang cenderung kepada kelazatan tadi telah lemah.

2. Berperangai dengan perangai orang yang beriman.

3. Membiasakan dirinya sabar dan tetap hati diatas penderitaan menahan diri dari mengerjakan perkara yang dikeji oleh syara’.

4.Mengingatkan hamba kepada kehinaan dan kemiskinan diri, kerana orang yang sedang berpuasa aka nada perasaan berhajat kepada makanan, minuman dan berhajat kepada perkara yang keji.

5. Memelihara diri daripada melakukan dosa.

6.Orang-orang kaya menolong orang-orang miskin dengan memberi bantuan kepada mereka.

7Menerangkan hati dan menajamkan fikiran.Kerana Sabda Nabi SAW:
من جاع بطنه عظمت فكرته وفطن قلبه
Maksudnya: Barangsiapa yang lapar perutnya besarlah fikirnya dan teranglah hatinya.

Berkata Luqmanul Hakim kepada anak-anaknya:
يا بنى إذا امتلأت المعدة نامت الفكرة وخرست الحكمة المدرك بهما لذة
المناجات والتأثربالذكر
Maksudnya:Wahai anakku, apabila perut dipenuhi dengan makanan dan cukup kenyangnya, nescaya gelaplah fikirannya dan tulilah hikmahnya,dan anggota menjadi malas untuk melakukan ibadah, maka kebersihan hati dan kehalusan fikiran itu menjadikan seseorang itu nikmat melakukan ibadat dan memberi kesan dari zikir.

Monday, August 25, 2008

BANTAH KONSERT AVRIL

KENYATAAN MEDIA : BANTAH KONSERT AVRIL

Dewan Pemuda PAS Pusat mengutuk sekeras – kerasnya tindakan jemaah menteri meluluskan semula konsert Avril Lavigne walaupun sebelumnya Kementerian Kesenian dan Warisan serta PUSPAL telah membatalkan konsert yang akan diadakan pada 29 Ogos ini, malang ia diluluskan kembali apabila diangkat kepada mesyuarat jemaah menteri .

Konsert ini adalah suatu penghinaan kepada negara Malaysia dan umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadhan al Mubarak pada bulan september ini.

Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya jemaah menteri yang membuat keputusan ini. Dimana ia adalah suatu tindakan yang kurang ajar dan biadab terhadap ummat Islam , walaupun Shafie Afdal menyatakan bahawa penganjur hiburan diminta menghormati prosedur permohonan permit selepas ini.

Ini menunjukkan tidak ada sedikit pun rasa hormat dan sensitif jemaah menteri kepada perasaan majoriti umat Islam dan warga pribumi di negara ini. Tarikh 29 Ogos 2008 sekurang – kurang berhadapan dengan suasana penting bagi negara ini khasnya ummat Islam .

Pertama ummat Islam bakal menghadapi bulan ibadah yang penuh kemuliaan dan keberkatan . Sepatutnya ia tidak dicemari oleh konsert seperti ini yang membawa masuk seorang artis simbol seks Avril Lavigne . Pastinya konsert ini akan membawa ummat leka dan lalai malah merosakkan moral dan akhlak mereka .

Kedua , berhadapan pula dengan ulangtahun kemerdekaan negara pada 31 ogos . Lazimnya pihak kerajaan menganjurkan majlis tahlil di seluruh negara dan forum untuk motivasi rakyat khasnya anak – anak muda supaya mewarisi semangat patriotisme . Konsert seperti ini sekali lagi tidak akan membantu motivasi rakyat untuk menjadi rakyat yang baik , bermoral dan berdaya saing , sebaliknya hanya melemahkan moral dan mental mereka sekaligus mengheret mereka tenggelam dibawah gelora nafsu.

Pembatalan konsert sebelum ini, rupanya bukanlah kerana menghormati hari kemerdekaan ke-51 tetapi hanya kerana kelewatan memohon permit. Maruah umat Islam dan rakyat Malaysia seperti dipijak-pijak dan dipermain oleh para jemaah menteri, semata-mata untuk menjaga hati Avril Lavigne.

Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan Kerajaan UMNO dan BN , di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya hendak memperjuangkan nasib umat Melayu dan Islam di negara ini. Mana perginya konsep AL-Falah laungan Najib dan Islam Hadhari yang di banggakan oleh Pak Lah?. Apa yang Shafie Afdal buat dalam KEKKWA untuk mempertahankan hak kesenian dan warisan bangsa, atau Shafie telah menyenaraikan budaya kebebasan barat sebagai salah satu budaya warisan bangsa?

Dewan Pemuda PAS Pusat tegas menyatakan sikap bahawa konsert seperti ini mesti dibatalkan segera dan ini adalah amaran keras kepada pihak penganjur agar tidak mencabar sensitiviti ummat Islam . Andai mereka tidak peduli amaran ini , Dewan Pemuda PAS Pusat tidak teragak – agak akan mengerahkan seluruh pemuda Islam agar turun membantah Konsert tersebut daripada terus berlangsung .

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyeru dan mengajak NGO-NGO Islam seperti GPMS, PPIM, PEKIDA, ABIM, JIM, TERAS dan GAMIS turut bersama-sama membantah konsert tersebut. Ini bukan untuk kepentingan politik tetapi melibatkan maruah dan harga diri ummat Islam . Jika begini terus menerus sikap kerajaan UMNO dan BN , mereka bukan sahaja jauh dari rahmat dan berkat Ilahi tetapi insyaallah akan terus dibuang dan dihumban oleh rakyat yang semakin hari semakin jelak dan muak dengan sikap berpura – pura Islam mereka .
Dewan Pemuda PAS Pusat turut menggesa agar seluruh mufti menunjuk sikap dan menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan yang membenarkan penganjuran pesta maksiat ini agar mereka tidak hanya responsif terhadap isu seperti sumpah saiful bahri tetapi diharap turut menunjuk sikap bagi membersihkan bumi ini dari maksiat dan mungkar .

Yang Menjalankan Tugas
Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Friday, August 22, 2008

KEGELAPAN DAN PENERANG-2 (TAQWA)

Penerang Pertama : Taqwa.

Kegelapan yang dialami ini adalah akibat dari cinta kepada dunia lebih daripada cintakan akhirat, lalu di akhirat kelak kegelapan itu menjadi kegelapan yang hakiki, pada hari itu (hari akhirat) satu hari bersamaan dengan lima puluh ribu tahun . Diwaktu itu, mereka yang berada dalam kegelapan sangat memerlukan cahaya untuk melihat jalan untuk menuju ketempat himpunan seluruh manusia yang diarahkan berhimpun disatu tempat. Oleh itu kegelapan cinta dunia hanya dapat dihilangkan dengan lampu taqwa.

Sayyidina Ali KarramaLlah Wajhah menyebut tentang sendi-sendi taqwa yang merupakan cahaya yang boleh menghilangkan kegelapan cinta dunia di hati. Sekiranya salah satu sendi taqwa ini tidak ada bererti masih ada dihati sifat cintakan dunia. Beliau berkata “Taqwa ialah takut kepada Allah, beramal dengan isi kandung al-quran, redha dengan yang sedikit dan bersiap sedia untuk menuju ke hari akhirat” (At-Taqwa, Mardini. m/s 16)

Takut kepada Allah bererti merasa takut kepada hisabnya, hukumannya di dunia kerana kemaksiatan, takut hukumannya di alam kubur dan takut hukumannya di alam akhirat. Dengan perasaan takut yang meresapi kedalam dirinya itu, membuatkan mereka menjauhkan diri dari perkara-perkara yang haram,syubhah, menjaga waktu dengan tidak melakukan perkara yang sia-sia, yang melalaikan dan cenderung kepada perhiasan.Rasa takut inilah yang mendorong mereka supaya mengamalkan apa yang dikehendaki oleh Allah dan meninggalkan segala larangannya.

Redha dengan apa yang sedikit bermakna seseorang itu tidak mengheret diri dan waktunya untuk menambah harta benda dunia atau mencari sanjungan orang lain diatas pangkat yang ada padanya.Ia berpuas hati dengan harta yang menjaga kehidupannya dan tidak mengemis kepada manusia. Ia menggunakan waktunya untuk menghampiri diri kepada Allah

Taqwa perlu kepada Muhasabah

Sendi-sendi taqwa itu muncul selepas seseorang itu melakukan muhasabah terhadap dirinya. Sebab jiwa menyuruh kepada keburukan.Manakala muhasabah itu seumpama pengawasan diatas perbuatan seharian. Pertamanya muhasabah itu akan membersihkan amal perbuatan hariannya.lalu meningkatkan amalnya setiap kali jiwanya mengajak kepada kejahatan.

Salah seorang dari generasi tabi’in, Maimun bin Mihran,tidak mengkategorikan seseorang itu bertaqwa jika ia tidak melakukan muhasabah. Beliau berkata: “Seseorang itu tidak termasuk dikalangan orang yang bertaqwa sebelum ia melakukan muhasabah lebih ketat dari muhasabahnya terhadap perniagaannya. Mereka perlu muhasabah tentang makanannya,pakaiannya dan minumannya apakah ianya dari sumber yang halal ?

Jadi setiap kali kegelapan berusaha masuk ke hatinya, ia langsung hilang dengan muhasabah, lalu hatinya sentiasa bersinar terang dengan lampu taqwa.

Monday, August 18, 2008

ADAB SEORANG PENGIKUT TERHADAP PIMPINAN

ADAB-ADAB DENGAN PEMIMPIN

Ummat Islam bukan sahaja diperintahkan supaya taat kepada Allah dan rasul tetapi diperintahkan juga taat kepada pemimpin. Firman Allah SWT:
ياأيها الذين أمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم
Maksudnya: wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul dan pemimpin dikalangan kamu (An-Nisa’ 59)

Pendokong gerakan Islam mestilah beradab apabila berhadapan dan memperkatakan sesuatu terhadap pimpinan tertinggi. Diantara adab-adabnya ialah :

1. Mentaati pimpinan: Ahli gerakan islam mestilah taat kepada setiap arahan pimpinan yang tidak bercanggah dengan ajaran islam. Sabda Nabi SAW:
عن أبى هريرة رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلعم.....ومن يعص الأمير فقد عصانى
Maksudnya:Daripada Abu Hurairah R.anhu berkata, RasuluLlah SAW bersabda….Sesiapa yang mengingkari pemimpin maka sesungguhnya ia mengingkariku. (H.R Muttafaq Alaih).

Apabila arahan yang dikeluarkan oleh pimpinan tidak dipatuhi oleh ahli-ahlinya, maka itu petanda ahli-ahli tidak merasa bertanggungjawab terhadap jemaah.Enggan taat kepada pimpinan bermakna setuju dengan kehancuran islam. Nabi SAW:
لا إسلام إلا بالجماعة ولا جماعة إلا بالإمارة ولا إمارة إلا بالطاعة
Maksudnya: Tidak ada islam melainkan dengan adanya jamaah, tidak ada jamaah melainkan adanya ketua dan tidak ada ketua melainkan dengan adanya ketaatan.

2. Menghormati dan menyayanginya: Menyayangi dan menghormati pimpinan adalah dituntut oleh islam. Sabda Nabi SAW:
عن حمزة أنس بن مالك خادم رسول الله صلعم عن النبى صلى الله عليه وسلم قال:
لا يؤمن أحدكم
حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

Maksudnya:Daripada Abi Hamzah Anas bin Malik, Khadam RasuluLlah SAW, daripada Nabi SAW : Tidak sempurna iman seseorang dikalangan kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.

3. Menjaga maruah :Kita digesa supaya menjaga maruah pemimpin, kerana mereka diamanahkan untuk memimpin kita. Firman Allah SWT:
ياأيها الذين أمنوا لا يسخر قوم من قوم
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman janganlah sesuatu puak mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain.(Al-Hujurat 11)

4. Memberi kerjasama : Ahli perlu bekerjasama dengan pimpinan didalam melaksanakan tugas, kerana pimpinan tidak akan mampu menyempurnakan tugas mereka tanpa kerjasama dari ahli bawahan mereka. Firman Allah SWT:
وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan (Al-Maidah 5:2)

5. Memberi teguran melalui saluran tertentu : Pemimpin yang melakukan kesilapan perlu diberi teguran secara berhikmah. Sabda Nabi SAW:
عن أبى رقية تميم بن أوس الداري صلعم أن النبى صلى الله عليه وسلم قال: الدين النصيحة. قلنا: لمن. قال: لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم
Maksudnya: Daripada Abi Ruqayyah Tamim bin Aus Ad-Darimi R.anhu, Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Agama itu nasihat. Kami bertanya: Kepada siapa?Baginda SAW menjawab:Kepada Allah, kitabnya,rasulnya dan pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan orang-orang yang mereka pimpin. (H.R Muslim)

6. Menziarahi : Menziarahi pemimpin adalah penting sebagai tanda sokongan dan hormat kepada pimpinan.Sabda Nabi SAW:
عن أبى هريرة رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلعم : من عاد مريضا أو زار أخا له فى الله ناداه مناديان
طبت وطاب ممشاك ونبوأت من الجنة منزلا.

Maksudnya: Daripada Abi hurairah R.anhu berkata, RasuluLlah SAW bersabda: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya pada jalan Allah,nescaya dua orang memanggilnya bagus kamu, bagus perjalananmu dan kamu telah menyediakan tempat disyurga.

7. Memberi sumbangan : Sumbangan dalam bentuk buah fikiran dan tenaga perlu diberikan kepada pemimpin dalam membangunkan jemaah atau Negara seperti idea Salman Al-Farisi didalam peperangan khandaq, manakala para sahabat pula memberi sumbangan yang berbentuk harta dan penglibatan mereka dalam menggali parit.

TIDAK BERADAB DENGAN PIMPINAN

Kesan daripada ahli tidak menghormati pimpinan menyebabkan :

-Mendapat kemurkaan Allah.

-Memburukkan imej jemaah

- Melemahkan semangat pemimpin untuk menjalankan tugas dengan cemerlang

-Menggagalkan perancangan yang dibuat oleh pemimpin untuk kebaikan jemaah.

SEMOGA SELEPAS INI TIDAK ADA LAGI KECAMAN YANG MELAMPAU TERHADAP PIMPINAN BILA SESUATU PERKARA BERLAKU.

Tuesday, August 12, 2008

KEGELAPAN DAN PENERANG- (CINTA DUNIA)

KEGELAPAN DAN PENERANG
Saidina Abu Bakar R.anhu berkata :
“ الظلمات خمسة والسراج لها خمس. حب الدنيا ظلمة والسراج له التقوي والذنب ظلمة والسراج لها التوبة والقبر ظلمة والسراج له لا إله إلا الله محمد رسول الله والأخرة ظلمة والسراج له العمل الصالح والصراط ظلمة والسراج لها اليقين " Maksudnya: Kegelapan ada lima dan penerangnya juga ada lima perkara iaitu cinta kepada dunia itu kegelapan dan yang meneranginya ialah taqwa, dosa itu kegelapan dan yang meneranginya ialah taubat, kubur itu gelap dan yang meneranginya ialah kalimah La’Ilaha ILlaLlah Muhammadar RasuluLlah,hari akhirat itu gelap dan yang meneranginya ialah Amal soleh dan titian sirath itu gelap dan yang meneranginya ialah keyakinan.

Kegelapan Pertama : Cinta Dunia.

Allah SWT berfirman tentang hakikat dunia :
إعلموا أنما الحيوة الدنيا لعب ولهو وزينة وتفاخربينكم وتكاثر فى الأموال والأولد كمثل غيث أعجب الكفارنباته ثم يهيج فتراه مصفرا ثم يكون حطما وفى الأخرة عذاب شديد ومغفرة من الله ورضوان وما الحيوة الدنيا إلا متع الغرور
Maksudnya:Ketahuilah Bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup Yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup Yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan Yang (menumbuhkan tanaman Yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa Yang tertentu), selepas itu Engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab Yang berat (di sediakan bagi golongan Yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang Yang mengutamakan Akhirat). dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya. (Al-Hadid 20)

Imam As-Syaukani menyatakan bahawa “ Allah menjelaskan bahawa dunia itu hina dan tidak layak diutamakan diatas akhirat. Kedudukan dunia itu seperti berikut :

1) (Al-La’ibu) permainan ialah kebatilan, (Al-lahwu) ialah segala hal yang melalaikan. Berkata Mujahid “ Semua (Al-La’ibu) itu Lahwan (melalaikan). Ada yang mengatakan (Al-La’ibu) ialah apa sahaja yang membuat seseorang itu cinta kepada dunia dan Al-Lahwu ialah apa sahaja yang membuatkan seseorang itu lupa kepada akhirat

2) Az-Zinah (perhiasan) bermaksud berhias dengan perhiasan dunia tanpa ada ruang untuk beramal bagi hari akhirat.

3) Tafakhurum Bainakum maksudnya sebahagian dikalangan kamu yang berbangga diri terhadap orang lain dengan kelebihan yang ada pada kamu seperti berbangga dengan fizikal dan kekuatan dan keturunan seperti yang berlaku pada orang-orang arab.

4) Takaathurun Fil Amwal Wal Aulad maksudnya mereka berbangga diri dengan harta dan anak-anak kepada orang-orang miskin.

Kemudian Allah SWT memperjelaskan perumpamaan dunia dengan berfirman كمثل غيث أعجب الكفارنباته ثم يهيج فتراه مصفرا )Maksudnya: samalah seperti hujan Yang (menumbuhkan tanaman Yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa Yang tertentu), selepas itu Engkau melihatnya berupa kuning.

Maksudnya kehidupan itu seperti tanaman yang dikagumi oleh orang-orang yang melihatnya kerana hijau dan indah.kemudian tanaman tersebut kering dan tidak bererti lagi seperti tidak pernah ada.


Bersambung….

13082008639am

Monday, August 4, 2008

ADUHAI MENTERIKU...

YA ALLAH... APA NAK JADI DENGAN PUAK-PUAK HADHARI NI YE?
SUKA SANGAT BUAT BENDA YANG TUHAN MARAH....
PakLah....Jeane tak marah ke ?

Huh...macam isteri diaa jee...ikut sedap nak pegang

Ustaz...takpe ke pakai main pegang macam ni?

Bekas Ahli Parlimen UMNO dengan AJK wanita Umno Malaysia








Sunday, August 3, 2008

AL-FATIHAH BUAT KAK DAH KETUA PENERANGAN DMP TERENGGANU


Terkejut juga apabila mendapat tahu tentang pemergian Kak Dah ke alam barzakh.Tapi apa boleh buat semuanya kuasa Allah SWT. Semasa saya menuntut di Rusila dulu (1990-1997) ,saya lihat, kak Dah adalah diantara orang yang istiqamah dengan pelbagai program yang dianjurkan oleh jemaah. Wajah beliau juga sering dilihat dimana-mana tempat pilihanraya kecil. Selain dari memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan DMP Terengganu beliau pernah dipilih sebagai Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Setiu.
saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarganya terutamanya anak-anak yang juga kawan saya iaitu ASMADI FATANI, AZIZI DAN AZIZUL yang pernah menuntut bersama di Ma'ahad Darul Quran Rusila. Semoga Allah menempatkan ruhnya dikalangan para syuhada' , solihin dan orang yang berjuang dijalannya. Al-Fatihah