Thursday, September 25, 2008

Fatwa tentang hari Raya


ZIARAH KUBUR PADA HARI RAYA.Soalan:“Ramai dari kalangan orang Islam menitik berat tentang ziarah kubur selepas menunaikan sembahyang hari raya, adakah disyariatkan ziarah seperti ini?”
Jawapan Syeikh Athiyyah Saqr (Mantan Ketua Majlis Fatwa Al-Azhar)
Hukum asal bagi ziarah kubur adalah sunnat, kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang hari akhirat.Di sebut di dalam hadis Nabi S.A.W sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah R.A dia berkata:“Nabi S.A.W menziarahi kubur ibunya lalu dia menangis dan orang yang disampingnya juga menangis, kemudian dia bersabda:( استأذنت ربي في أن أستغفرلها فلم يؤذن لي، واستأذنته في أن أزور قبرها فأذن لي، فزوروا القبور فانها تذكر الموت )Maksudnya:“Aku meminta izin dari Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian”.Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad yang sahih sabda Nabi S.A.W:( كنت نهيتكم عن زيارة القبور، فزوروا القبور فانها تزهد في الدنيا وتذكر الأخرة )Maksudnya:“Adalah aku dahulunya menghalang kamu dari menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahilah kubur, kerana ia boleh menjadikan kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati akhirat”.
Ziarah kubur tidak mempunyai waktu yang tertentu. Sebahagian ulama’ menyatakan bahawa pahalanya lebih besar pada hari-hari yang tertentu seperti hari Khamis dan Jumaat, kerana kuatnya hubungan di antara roh-roh dengan si mati. Pendapat ini tidak mempunyai dalil yang kuat.Dengan ini kita dapat simpulkan bahawa menziarahi kubur selepas dari sembahyang hari raya, jika ia bertujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati yang dahulunya bersama-sama mereka berseronok di hari raya, serta memohon rahmat dari Allah S.W.T untuk mereka dengan berdoa, ini semua tidak mengapa dilakukan oleh orang lelaki.Adapun bagi perempuan, hukum mereka menziarahi kubur telah dibincangkan pada jilid pertama, ms:588 dari kita fatwa ini.
[Di dalam perbincangan tersebut, pendapat yang dipilih oleh sheikh ialah hukumnya makruh jika dibimbangi akan berlakunya perkara yang haram seperti meratap dan lain-lain, jika perkara haram tersebut tidak dapat dielakkan maka hukumnya adalah haram –ringkasan dari fatwa tersebut oleh penterjemah]Adapun jika menziarahi kubur selepas solat hari raya untuk memperbaharui kesedihan dan untuk menerima takziah di atas kubur, atau dengan mendirikan bangsal dan menyediakan tempat untuk menerima takziah, maka ia ditegah.
Ini kerana takziah selepas dari mayat dikebumikan lebih dari tiga hari adalah dilarang, samada larangan dalam bentuk haram atau makruh. Juga kerana hari tersebut adalah hari raya, hari bergembira dan berseronok yang sepatutnya tidah ditimbulkan perasaan sedih padanya.[Ahsanul Kalam Fil-Fatawa Wal-Ahkam, Sheikh ‘Athiyyah Saqr, Jilid: 6, MS: 646-647]

Friday, September 12, 2008

BN DENGAN SENJATANYA



Berita penahanan Raja Petra Kamaruddin, Wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dan Yb Cik Teresa Kok telah tersebar luas.Begitulah perangai BN dari dulu sehingga sekarang. Apabila terdesak, mereka akan keluarkan senjata kebal (ISA) yang disimpan dan entah sudah berapa jiwa yang telah merasai keperitannya.

Sepatutnya orang yang patut di seret ialah Datuk Ahmad Ismail sebagai pelakun utama yang memalu gendang perkauman, tetapi ia hanya digantung sahaja. Dimana keadilan? Jalan cerita ini telah dimainkan pada satu ketika dulu, tetapi tajuknya sahaja yang berbeza. Kalau dulu tajuknya ialah Operasi lalang dan Operasi kenari yang pelakunnya dipunggah dari kalangan pimpinan politik termasuk dari pimpinan Pas diantaranya Sdr Hj Muhammad Sabu, Yb Hj Mahfuz Omar, Ust Hj Abu Bakar Chik, Allahyarham Ust Buniyamin Yaakob,Yb Sdr Ir Khalid Samad, Yb Karpal Singh, Yb Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Dulu Dato’ Sri Awang Liku Bin Abdul Razak menjadi pelakun utama, beliau menyatakan “Kita basahkan keris dengan darah cina”. Shahidan Kassim sebut “kita pergi bawa senjata paling kurang sekotak mancis.”

Tetapi orang yang membuat kenyataan sebegitu rupa tidak diheret ke ISA, bahkan Awang liku pergi berehat ke Jakarta, dan orang yang tidak ada kena mengena pula yang ditangkap.Kini, jalan cerita yang sama diputar kembali, pentasnya dramanya ialah ISA Inilah politik lapuk BN. Pemikiran mereka dari dulu sampai sekarang sama je…20 km sejam.

Wednesday, September 10, 2008

INDAHNYA SOLAT BERJEMAAH


KELEBIHAN SOLAT BERJAMAAH

Pertama: Kelebihan solat berjemaah berbanding solat berseorangan.

Imam Bukhari telah meriwayatkan didalam hadith yang shahih.
عن أبى سعيد الخدري رضى الله عنه, أنه سمع النبى صلعم يقول :صلاة الجماعة تفضل صلاة الفذ بخمس وعشرين درجة
Maksudnya: Daripada Abi Said Al-khudriyy R.anhu, sesungguhnya Nabi SAW bersabda “Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat bersendirian sebanyak 25 kali ganda.

Terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar tentang solat berjemaah mendapat 27 kali ganda.walau bagaimanapun ulama’-ulama’ telah memberikan alasan mereka yang tersendiri. Iaitu ianya bergantung kepada jenis solat,khusuk, penyempurnaan bacaan. Ahli jamaah yang ramai, tempat yang mulia seperti masjidil haram dan imam yang alim sudah pasti lebih banyak fadhilatnya.

Kedua: Berada di bawah bayangan arasy Allah dihari kiamat kelak.

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim :
عن أبى هريرة رضى الله عنه عن النبى صلعم قال: سبعة يظلهم الله فى ظله يوم لا ظل إلا ظله: الإمام العادل وشاب نشأ فى عبادة ربه, ورجل قلبه معلق بالمساجد
Maksudnya: Daripada Abi Hurairah R.anhu, daripada Nabi SAW bersabda “Ada tujuh golongan manusia yang akan ditempatkan oleh Allah dibawah bayangannya pada hari yang tidak ada bayangan melainkan bayangan Allah SWT.Iaitu pemerintah yang adil, pemuda (yang terdidik dengan agama) beribadah kepada Allah SWT,lelaki yang hatinya bergantung kepada masjid…..

Ketika mengulas hadith ini” ورجل قلبه معلق بالمساجد” Imam An-Nawawi menyatakan: “Bersangatan mengingati masjid dan sentiasa beristiqamah pergi ke masjid kerana untuk solat berjemaah bukan bermaksud berterusan tinggal didalam masjid.(Syarah An-Nawawi, jilid7/121.

Ketiga: Allah SWT merasa hairan dengan solat berjemaah.

Sabda Nabi SAW:
عن عبد الله بن عمر رضى الله عنهما قال: سمعت رسول الله صلعم يقول: إن الله ليعجب من الصلاة فى الجميع
Maksudnya: Sesungguhnya Allah sangat hairan dan takjub dengan solat yang didirikan secara berjemaah.(H.R Imam Ahmad)

Keempat: Keampunan bagi orang yang solat berjemaah selepas menyempurnakan wudhuk.

عن عثمان بن عفان رضى الله عنه قال: سمعت رسول الله صلعم يقول: من توضأ للصلاة فأسبغ الوضؤ, ثم مشى إلى الصلاة المكتوبة فصلاها مع الناس أو مع الجماعة أو فى المسجد غفر الله له ذنوبه
Maksudnya: Daripada Uthman bin Affan R.anhu berkata, Aku pernah mendengar RasuluLlah SAW bersabda “Sesiapa yang berwudhuk untuk solat, lalu dia menyempurnakan wudhuknya, kemudian dia terus berjalan untuk mendirikan solat fardhu, lalu dia menunaikan solat fardhu bersama orang lain atau secara berjemaah atau di masjid nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya. (Shahih Muslim. Hadith no232. Jld 1/208)

Kelima: Bertambah kelebihan solat berjemaah dengan bertambahnya bilangan ahli jamaah.

Sabda Nabi SAW:
عن أبى بن كعب رضى الله عنه قال رسول الله صلعم " إن صلاة مع الرجل مع الرجل أزكى من صلاته وحده وصلاته مع الرجلاين أزكى من صلاته مع الرجل. وما كثر فهو أحب إلى الله عزوجل.
Maksudnya: Dari Ubay bin Ka’ab R.anhu, daripada RasuluLlah SAW,sabdanya “Sesungguhnya solat jemaah yang dilakukan oleh dua orang lelaki lebih afdhal disisi Allah berbanding kedua-duanya melakukan (solat) secara bersebdirian. Begitu juga solat berjemaah tiga orang lelaki lebih afdhal disisi Allah berbanding solat berjemaah yang dilakukan oleh dua orang lelaki sahaja. Semakin ramai bilangan jemaah, maka ianyasemakin disukai disisi Allah SWT.

Keenam: Kelebihan solat isyak, subuh dan asar berjemaah.

Sabda Nabi SAW:
عن أبى هريرة رضى الله عنه قال: قال النبى صلى الله عليه وسلم ولو يعلمون ما فى العتمة والصبح لأتوهما ولو حبوا.
Maksudnya: Daripada Abi Hurairah R.anhu berkata, Nabi SAW bersabda “Jika manusia mengetahui kelebihan yang tersirat disebalik solat isyak dan subuh yang didirikan secara berjemaah nescaya mereka akan (bertungkus lumus) mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.

Sabda Nabi SAW:
يتعاقبون فيكم ملائكة بالليل ، و ملائكة بالنهار ، و يجتمعون في صلاة الفجر ، و صلاة العصر ،ثم يعرج الذين باتوا فيكم ، فيسألهم ربهم و هو أعلم بهم كيف تركتم عبادي ؟فيقولون تركناهم و هم يصلون ، و أتيناهم و هم يصلون
Maksudnya: Bersilih ganti malaikat malam dan malaikat siang datang kepada kamu, lalu mereka bertemu ketika solat subuh dan asar.Kemudian ketika malaikat malam naik ke langit , maka bertanyalah Allah kepada mereka sedangkan Allah itu Maha mengetahui segala tindak tanduk mereka “Bagaimanakah hambaku ketika kamu meninggalkan mereka?”.Lalu para malaikat menjawab “Kami telah tinggalkan mereka dalam keadaan mereka bersolat dan kami mula-mula mendatangi mereka, mereka juga sedang bersolat. (Shahih Muslim no 632.Jld 1/439)

Wassalam
110920080700am

Saturday, September 6, 2008

LAPORAN PONDAN JAKIM, YADIM, MAIWP DAN JAWI


Saya menyokong tindakan yang bakal diambil keatas Raja Petra kerana dikatakan menghina agama islam. Alhamdulillah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zahid Hamidi telah memberikan responnya terhadap masalah ini.

Bernama.com telah menyiarkan seperti berikut “Tindakan empat buah agensi Islam membuat laporan polis terhadap penulis blog "Malaysia Today" Raja Petra Kamaruddin adalah bukti umat Islam tidak akan berdiam diri dengan penghinaan yang dibuat terhadap agama itu termasuk melalui laman blog di internet.Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan membuat laporan polis itu amat wajar.Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Al-Ghazali di sini malam semalam, beliau berkata pihak yang menghina dan memperlekehkan imej Islam perlu dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang negara.”

Tindakan yang dikenakan ekoran daripada laporan polis yang telah dibuat oleh Jabatan kemajuan islam Malaysia ( JAKIM ), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia ( YADIM ), Majlis agama islam Wilayah Persekutuan ( MAIWP ) dan Jabatan agama islam Wilayah Persekutuan ( JAWI ).

Apa yang dilihat, tindakan yang diambil oleh kerajaan BN terhadap Raja Petra Kamaruddin bukanlah kerana sensitif terhadap isu-isu penghinaan terhadap agama, tetapi lebih bersifat untuk meraih simpati rakyat terhadap UMNO dan BN yang sedang nazak ketika ini

Sekiranya Datuk Zahid Hamidi benar-benar sensitif terhadap isu-isu agama ini, kenapa kerajaan BN yang 50 tahun lebih memerintah tidak mengambil tindakan terhadap Kassim Ahmad (Anti Hadith), Farish A.Noor yang terang-terang menghina Nabi Muhammad dan keluarganya. Bahkan ajaran Qadiani yang menyesatkan itu, berpusat di Daerah Selayang masih lagi wujud sehingga ke saat ini yang tidak diambil tindakan oleh mana-mana pihak.

Sebab itu laporan polis yang dibuat oleh JAKIM, YADIM, MAIWP dan JAWI saya sifatkan laporan pondan yang berani kepada sebelah pihak sahaja.

Saya bukan mahu membela orang yang menghina islam kerana diatas nama pembangkang, tetapi tindakan dan laporan yang dikenakan biarlah adil.

Thursday, September 4, 2008

TITIAN YANG MENGGERUNKAN DI PADANG MAHSYAR

SIFAT TITIAN SIRATH

Titian sirath sebagaimana yang disebut oleh Nabi SAW lebih nipis dari mata pedang. Sabda Nabi SAW:
والصراط كحد السيف دحض مزلة
Maksudnya: Titian sirath itu seperti mata pedang, licin dan menggelicirkan. (Diriwayatkan oleh Al-Hakim).

Sabda Nabi SAW:
ويوضع الصراط مثل حد الموسى, فتقول الملائكة: من يجيز هذا؟ فيقول: من شئت من خلقى, فيقولون: ما عبدناك حق عبادتك .
Maksudnya: As-Sirath itu seperti sebilah pisau cukur, para malaikat berkata: “ Siapakah yang mampu berjalan diatasnya ?”. Allah SWT berfirman “Makhlukku yang aku kehendaki”.Lalu para malaikat pun berkata: “Kami merasa seperti belum pernah beribadah dengan sebenar-benarnya kepadamu”.( Al-Hakim)

TINGKATAN ORANG-ORANG YANG MELINTASI
TITIAN SIRATH


1. Seperti sekelip mata.
Inilah kelompok manusia yang paling cepat merentasi titian sirath, diantara mereka lagi ialah 70.000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. Sepertimana sabda Nabi SAW:
وعلى جسر جهنم كلاليب وحسك تأخذ من شاء الله ثم يطفأ نور المنافقين ثم ينجو المؤمنون فتنجو أول زمرة
وجوههم كالقمر ليلة البدر سبعون ألفا لا يحاسبون

Maksudnya:Diatas jambatan jahannam adanya onak dan duri yang mengenai sesiapa yang dikehendaki Allah, setelah itu sinar orang munafik akan padam sedangkan sinar orang mukmin tetap menyala. Wajah kelompok yang pertama kali selamat itu seperti bulan purnama, (Mereka itu terdiri daripada) tujuh puluh ribu orang yang tidak dihisab. (H.R muslim)

2. Seperti kilat.
Ketangkasan golongan ini berjalan adalah seperti cepatnya cahaya dan mereka sedikit lambat dari golongan yang pertama.

3. Seperti angin.
Iaitu cepat dan kuatnya angin yang menggoncang perahu, menumbangkan pohon-pohon kayu, meruntuhkan gedung, menghemburkan debu dan mendorong air laut untuk meneggelamkan siapa sahaja yang dikehendaki Allah Ta’ala. Golongan ini lebih lambat sedikit daripada perjalanan cahaya, sedangkan suaranya boleh didengari sebelum kedatangannya. Ini menunjukkan kecepatan perjalanan kelompok ini lebih lambat daripada kelompok sebelumnya.

4. Seperti burung.
Dengan kelengkapan sayapnya, burung boleh berterbangan, tetapi kecepatan angin lebih cepat dari burung tadi dan terbang angina lebih tinggi dari terbangnya seekor burung. Ini menunjukkan kecepatan perjalanan kelompok ini lebih lambat dari kelompok sebelumnya.

5. Seperti kuda dan unta yang tangkas.
Tidak diragukan kecepatan perjalanan kuda dan unta yang tangkas lebih lambat jika dibandingkan dengan perjalanan seekor burung. Ini menunjukkan kecepatan perjalanan kelompok ini dalam melintasi As-Sirath lebih lambat dari kelompok sebelumnya.

6. Seperti orang lelaki yang berlari sprint.
Manusia tangkas dengan lariannya tetapi kecepatannya tidak mampu untuk menandingi kuda dan unta yang disebut sebelumnya.

7. Seperti berjalan.
Yang dimaksudkan dengan berjalan disini ialah berjalan biasa bukannya berlari.

8. Meniarap.
Kelompok ini paling lambat perjalanannya dan paling lemah melintasi titian sirath, kadang-kadang mereka itu merayap menggunakan tangan, perut, wajah dan jari-jarinya.

Kelompok yang kelapan ini banyak disebut didalam hadith-hadith shahih, diantaranya hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudriyy didalam kitab Shahih Muslim. Dan disebutkan :
فيمرالمؤمنون كطرف العين وكالبرق وكالريح وكالطير وكأجاويد ا
الخيل والركاب

Maksudnya: Maka orang-orang mukmin berjalan seperti sekelip mata, kilat, angina, burung, kuda dan unta yang terbaik. (H.R Muslim)
Wallahu 'Aklam.