Wednesday, February 11, 2009

IJTIMA' TARBAWI DAN MATLAMAT TARBIYAH ISLAMIYAH


( Semalam ( 11 February 2009) Dewan Pemuda Pas Jerantut telah mengadakan Ijtima' Tarbawi di peringkat DUN Pulau Tawar. Pembentangnya ialah Ust Abdul Rahim Latif Beliau ialah Ajk Perhubungan Pas Negeri Pahang dan Ydp Pas Kawasan Temerloh. Pernah diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Pahang dan Exco Dewan Pemuda Pas Pusat ).Kertas Kerja yang bertajuk "MATLAMAT TARBIYAH ISLAMYAH"


MATLAMAT TARBIYAH ISLAMIYAH

Matlamat tarbiyah islamiyah itu perlu dibahagikan kepada dua matlamat iaitu matlamat yang umum dan matlamat yang khusus. Matlamat yang umum ialah untuk menyelamatkan manusia dari azab Allah SWT. Firman Allah SWT:
ياأيها الذين أمنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة
Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala).

Insan yang diselamatkan dari azab Allah SWT itu ialah insan yang dapat menyempurnakan segala tanggungjawabnya kearah mencapai tujuan dan matlamat ianya dijadikan oleh Allah SWT sebagaimana yang digariskan oleh Allah SWT :

1) Beribadah kepada Allah yang Maha Esa mengikut syariat yang diwujudkan oleh Allah SWT. Seperti firmannya:
وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون
Maksudnya: Dan (ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaku. (Az-Zariaat 56)

Ibadah kepada Allah mengikut syariat yang diturunkan olehnya melalui Nabi SAW menuntut supaya orang-orang muslim itu memiliki beberapa sifat yang penting, antaranya ialah iman, islam, ihsan, keadilan, Amar makruf Nahi munkar, jihad di jalan Allah, manis tutur kata, pekerti yang mulia dan beberapa peradaban serta amalan lain.

2) Menjadi khalifah Allah diatas muka bumi ini.

ِِِAllah SWT telah menyatakan bahawa antara tujuan manusia diciptakan ialah untuk menjadikannya khalifah diatas muka bumi ini. Firman Allah SWT:
وإذ قال ربك للملائكة إنِّى جاعل فى الأرض خليفة
Maksudnya: Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat “Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.(Al-Baqarah 30)

3) Berkenal-kenalan dan berbaik-baik dikalangan manusia.
Firman Allah SWT:
ياأيها النَّاس إنَّا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إنَّ أكرمكم عند الله أتقاكم إن الله عليم خبير
Maksudnya: Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan, sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya diantara kamu.

4) Memimpin dan memerintah dunia ini.

Firman Allah SWT :
وعد الله الذين أمنوا منكم وعملوا الصالحات لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فى الأرض كما استخلف الذين من قبلكم وليمكنن لهم دينهم الذي ارتضى لهم وليبدلنهم من بعد خوفهم أمنا يعبدوننى ولا يشركون بي شيئا ومن كفر بعد ذلك فأولئك هم الفاسقون
Maksudnya :Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka. (An-Nuur 55)

5) Menjalankan syariat Allah dibumi ini.

Matlamat dan tujuan seterusnya manusia dijadikan oleh Allah SWT ialah untuk menjalankan syariat Allah dimuka bumi ini. Ini merupakan matlamat yang sangat besar dan masyhur. Ia merupakan intisari kepada segala matlamat yang lain. Firman Allah SWT:
ثم جعلناك على شريعة من الأمر فاتًّبعها ولا تتبع أهواء الذين لا يعلمون
Maksudnya: Kesudahannya kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama , maka turutlah syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui. (Al-Jathiah 18)

Bersambung
….

No comments: