Diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam kitab Al-Bidayatu Wan-Nihayah bahawa Baihaqi menceritakan dari Abi Mansur Ahmad bin Ali Ad-Damghaniy dari daerah Namin di Baihaq,dalam sebuah kisah yang disampaikan dari Umar R.anhu.
"RasuluLlah sedang berjalan bersama dengan sekumpulan para sahabat,tiba-tiba datang seorang arab badwi dari Bani Sulaim kehadapan Rasulullah. Beliau membawa bersamanya seekor biawak padang pasir (dhab) yang ditangkapnya dan bercadang untuk membakar haiwan itu untuk dimakan.
Melihat ramai yang berjalan itu,beliau tertarik untuk mendekati dan bertanya siapakah gerangan yang sedang mereka iringi. Apabila diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi Nabi maka dia terus mendekati Nabi lantas berkata "Demi tuhan Lata dan Uzza,tiadalah sesuatu yang terdapat di alam ini yang lebih kubenci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa,tentulah aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat menggembirakan hatiku dan hati semua manusia yang berkulit hitam,putih dan merah serta selainnya.!”
Umar Al-Khattab menjadi marah,lalu bangkit dan berkata “Wahai Nabi! Biarlah saya mengakhiri hidupnya!”
Nabi SAW tenang menjawab permintaan Umar: “Wahai Umar! Tidakkah negkau tahu bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi Nabi?”
Nabi kemudiannya berkata kepada arab badwi itu “Apa yang menyebabkan engkau berkata demikian? Sepatutnya engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku!”
Arab badwi tersebut tidak mengalah bahkan sebaliknya berkata “Demi tuhan Lata dan Uzza! Aku takkan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah biawak ini beriman kepadamu, “ katanya sambil mengeluarkan biawak itu lalu melemparkannya kehadapan Nabi SAW.
Nabi SAW memanggil biawak itu. Kedengaran biawak itu menjawab dengan bahasa arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir “Ya wahai Nabi SAW.”
Nabi bertanya “Kepada siapakah engkau beriman?”. Jawab biawak itu “Saya beriman kepada tuhan yang dilangit itu a’rasynya,dibumi itulah kekuasaannya,dan dilautan itulah jalannya dan disyurga itu rahmatnya dan dalam neraka itu azabnya1”
Tanya Nabi lagi “aku ini siapa wahai biawak?”. Jawab si biawak “Tuan adalah utusan Allah,yang memiliki sekelian alam! Amatlah beruntung orang yang mendokong perjuangan tuan,dan binasalah orang yang mendustakan tuan!”
Mendengar kata-kata biawak itu,arab badwi itu lantas berkata “Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci,tetapi hari ini engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri,engkau amatku kasihi zahirku dan batinku.” Kemudian beliau mengucapkan kalimah syahadah dihadapan semua yang hadir.
Ulasan : Pengajaran yang boleh diambil dalam kisah ini ialah bagaimana seekor biawak (dhob) telah beriman kepada Allah SWT.bahkan menyokong perjuangan Nabi SAW. Sedangkan manusia yang telah dianugrahkan aqal masih lagi ramai yang tidak beriman kepada Allah SWT. Bahkan masih ramai yang menidakkan perjuangan untuk mendaulatkan syariat islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Sekurang-kurangnya malulah wahai manusia yang menolak dan mendustakan perjuangan Rasulullah dengan seekor binatang yang bernama biawak ini.
( Kisah ini diceduk dalam majalah Solusi bilangan 1,yang bertajuk "kerana rezeki, masuk neraka!..)
No comments:
Post a Comment