Di SUNGAI PETANI (Berita harian online), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata tindakan nazir dan ahli jawatankuasa surau itu membenarkan orang bukan Islam memasuki ruang solat adalah tidak dibenarkan dan menyalahi hukum.
“Orang bukan Islam hanya boleh melawat kawasan masjid atau surau tetapi tidak boleh memasuki ruang solat rumah ibadat berkenaan apatah lagi memberi ceramah kepada jemaah surau berkenaan.
“Perkara ini disifatkan serius dan ia perlu disiasat secara menyeluruh dan jika benar ia berlaku ia seakan-akan satu bentuk penghinaan terhadap orang Islam,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan sambutan Hari Wanita anjuran Wanita UMNO Baling.
Dr Masyitah mungkin terlupa untuk lihat kembali artikel ilmiah yang ditulis oleh Ghafani Awang Teh, melalui saluran berita harian bertarikh 1 March 2008 dan dipaparkan di web JAKIM yang menyatakan :
Persoalan besar timbul ialah apakah hukum orang bukan Islam memasuki masjid? Berdasarkan
pendapat Mazhab Syafie, orang bukan Islam dilarang secara mutlak memasuki Masjidil Haram seperti dinyatakan firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya (kepercayaan) orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu daripada limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 28)
Masjid lain pula pada pandangan ulama Syafi’iyah adalah diharuskan jika bertujuan baik. Ulama ini berpegang pada hadis sahih diriwayatkan Bukhari, menjelaskan bahawa sekumpulan tentera Islam yang baru kembali dari medan perang Nejad membawa seorang tawanan perang bernama Tsumamah Utsaal dari Bani Hanifah yang ketika itu belum beragama Islam dan mengikatnya pada tiang dalam sebuah masjid.
Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya bersabda: “Lepaskanlah Tsumamah.” Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke kebun kurma berdekatan masjid dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk semula ke dalam masjid sambil melafazkan kalimah dua syahadah menjadi seorang muslim.”
Berdasarkan hadis itu nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur tindakan sahabat membawa masuk Tsumamah ke dalam masjid itu.
Bagaimanapun bagi menjamin dan memelihara kesucian masjid, pihak pengurusan perlu membuat peraturan sesuai umpamanya dimestikan menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa sesuai yang tidak mengganggu umat Islam menunaikan ibadat.
No comments:
Post a Comment