Friday, October 24, 2008

IBLIS BERJANJI KEPADA ALLAH UNTUK SESATKAN MANUSIA- 1

Syaitan telah berjanji dengan janji yang buruk terhadap anak Adam dan keturunannya. Allah SWT telah menyebutnya lima tempat didalam Al-quran iaitu:

1. Firman Allah SWT :
إن يدعون من دونه إلا إنثا وإن يدعون إلا شيطانا مريدا لعنه الله وقال لأتخذن من عبادك مفروضا ولأضلنهم ولأمنينهم ولأمرنهم فليبتكن ءاذان الأنعم ولأمرنهم فليغيرن خلق الله ومن يتخذ الشيطان وليا من دون الله فقد خسر خسرانا مبينا يعدهم ويمنيهم وما يعدهم الشيطان إلا غرورا .
Maksudnya: Apa Yang mereka sembah Yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk Yang lemah), dan mereka (dengan Yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan Yang derhaka Yang telah dilaknat oleh Allah, dan Yang telah mengatakan: "Demi sesungguhnya, Aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian Yang tertentu (untuk menjadi pengikutku)."Dan Demi sesungguhnya, Aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan Demi Sesungguhnya Aku akan memperdayakan mereka Dengan angan-angan kosong, dan Demi Sesungguhnya Aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan Aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". dan (ingatlah) sesiapa Yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin Yang ditaati selain dari Allah, maka Sesungguhnya rugilah ia Dengan kerugian Yang terang nyata.Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka Dengan angan-angan kosong; dan apa Yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata. (An-Nisaa’ 117-120)


Di sini saya ingin mengambil beberapa ayat yang telah ditafsirkan oleh ulama’ sebagai peringatan kepada kita semua.

- (ولأضلنهم) Aku akan selewengkan mereka daripada jalan petunjuk dan kebenaran dan aku akan pandukan mereka ke jalan yang sesat dan yang merosakkan.
[1] Imam An-Nasafi menyatakan: “ولأضلنهم “ bermaksud “Aku akan menyeru mereka kepada kesesatan dengan perhiasan (dunia) dan sifat was-was[2].

- (ولأمنينهم ) Aku akan perhiaskan kepada mereka (manusia) angan-angan yang bathil yang tidak berasas.
[3] Imam Ibn Kathir mengulas ayat tersebut dengan berkata “Aku perhiaskan kepada mereka (manusia) supaya meninggalkan taubat, aku akan menyediakan angan-angan kepada mereka (manusia) dan aku akan menyuruh mereka menangguh dan memperlewatkan taubat dan aku akan perdayakan diri mereka.[4]

- (ولأمرنهم فليبتكن ءاذان الأنعم ) Maksud “Falayubattikunna” ialah potong.Yang dimaksudkan oleh mufassirin didalam ayat ini ialah memotong telinga Bahiirah, mereka membelah telinga unta betina itu apabila ia melahirkan anak kelima yang jantan. Dan mereka juga mengharamkan unta itu untuk di menafaatkan kepada mereka sendiri.
[5]

- (ولأمرنهم فليغيرن خلق الله ) Imam Fakhrurrazi berkata: Terdapat dua pandangan ulama’ tafsir disini, iaitu :

1) Mengubah ciptaan Allah disini bermaksud mengubah agama Allah. Terdapat dua pandangan ulama’ tentang mengubah agama Allah ini iaitu:

Pertama
: Bahawa Allah SWT telah menjadikan manusia secara fitrah diatas agama islam, bermula dari Adam A.s , mereka bersaksi keatas diri mereka sendiri sesungguhnya Allah adalah tuhan mereka, mereka beriman dengan Allah. Oleh sebab itu sesiapa yang kufur dengan Allah SWT bererti mereka telah mengubah fitrah Allah SWT (yang sepatutnya memperakui Allah sebagai tuhan dan beriman dengannya itu adalah fitrah semulajadi kepada manusia). Inilah makna hadith Nabi SAW :
ما من مولود إلا يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه
Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda, "Tidaklah seorang anak dilahirkan, melainkan ia dilahirkan dalam keadaan fitrah (bersih/ suci/ Islam). Orangtuanyalah yang menjadikan ia Yahudi, Nasrani atau Majusi " (HR. Bukhari)

Kedua: Yang dikehendaki dengan mengubah ciptaan Allah disini ialah menjadikan yang halal sebagai haram dan yang haram menjadi halal. Ini dikuatkan oleh Nabi SAW didalam hadith qudsinya :
أيها الناس, ألا إن ربى أمرنى أن أعلمكم ما جهلتم مما علمني يومى هذا, إن كل مال نحلته عبدي فهو حلال, وإنى خلقت عبادي حنفاء كلهم, وأن الشياطين أتتهم فاجتالتهم عن دينهم, فحرمت عليهم ما أحللت لهم, وأمرتهم أن يشركوا بي مالم أنزل به من سلطانا, وأمرتهم أن يغيروا خلقي
Maksudnya: Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhanku menyuruhku untuk mengajar kalian apa yang kalian tidak tahu dan Allah telah mengajarku pada hari ini, iaitu setiap harta yang Aku (Allah) berikan kepada seseorang hamba adalah halal dan sesungguhnya Aku mencipta hamba-hamba-Ku semuanya dalam keadaan (fitrah yang) cenderung kepada agama yang lurus (Islam). Akan tetapi syaitan-syaitan mendatangi mereka dan memalingkan mereka dari agama mereka (Islam) dan mengharamkan ke atas mereka apa yang Aku halalkan bagi mereka. Dan syaitan-syaitan itu menyuruh mereka mempersekutukan Aku dengan apa yang tidak Aku berikan keizinan kepada mereka.(H.R Muslim)

2) Mengubah ciptaan Allah yang berkait dengan perkara-perkara yang zahir. Seperti khunsa, mengubah warna kulit, menyambung rambut, menjarangkan gigi untuk perhiasan dan mencabut bulu kening serta menghaluskannya.
[6]

- (ومن يتخذ الشيطان وليا من دون الله فقد خسر خسرانا مبينا ) Imam Fakhrurrazi menyatakan “Ketahuilah sesungguh Allah SWT ketika menceritakan tentang syaitan akan menyeru, melakukan tipudaya dan menyesatkan manusia, Allah mengingatkan manusia dari mengikuti syaitan (mengikuti tipu daya syaitan).Lalu Allah SWT berfirman :” ومن يتخذ الشيطان وليا من دون الله فقد خسر خسرانا مبينا “
[7].

Imam Ibn Kathir dan Imam Al-qurtubi menyebut didalam kitab mereka : Sesiapa yang taat kepada arahan syaitan dan meninggalkan arahan Allah, maka mereka terang-terang berada dikalangan orang yang rugi, kerana mereka rugi didunia dan akhirat.
[8]

- ( يعدهم ويمنيهم وما يعدهم الشيطان إلا غرورا.) Berkata Imam Ibn Kathir “Sesungguhnya syaitan menjanjikan kepada pegikut-pengikutnya dan telah memanjangkan angan-angan mereka bahawa mereka adalah orang-orang yang Berjaya didunia dan akhirat sedangkan ia adalah tipudaya. Sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT “وما يعدهم الشيطان إلا غرورا ” bermaksud : Dan tidaklah syaitan itu berjanji melainkan hanya tipudaya.

Allah SWT menceritakan ucapan iblis pada hari qiamat nanti( وقال الشيطن وقضى الأمر إن الله وعدكم وعد الحق ووعدتكم فأخلفتم ) Maksudnya: Dan syaitan telah berkata setelah selesai perkara itu “ Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu dengan janji yang benar dan aku berjanji dengan kamu tetapi aku memungkiri janjiku terhadapmu.( Surah Ibrahim 22)
[9]


Bersambung….
241020081155pm
[1] Tafsir Al-qurtubi, Jld 5. M/s 389. Tafsir Al-Wadih, Jld 1,M/s 430.
[2] Tafsir An-Nasafi, Jld 1.M/s 251.
[3] Tafsir Al-Wadhih. Jld 1.M/s 430
[4] Tafsir Ibn kathir.Jld 1. M/s 557
[5] Tafsir Al-qurtubi. Jld 5. M/s 389. Mafatihul Ghaib. Jld 5. M/s 452
[6] Mafatihul Ghaib. Jld 5. M/s 452
[7] Mafatihul Ghaib Jld 5. M/s 454
[8] Tafsir Ibn Kathir. Jld 1. M/s 557, Tafsir Al-qurtubi. Jld5. M/s 395
[9] Tafsir Ibn Kathir Jld 1.M/s 557

No comments: