Thursday, October 22, 2009

SUJUD DAN KEHEBATANNYA - 1


Manusia yang menghampirkan diri dengan Allah SWT samada dengan banyak bersujud, takut, berdoa kepadanya, bertahmid, berharap, bertasbih dan bertahmid akan menghasilkan jiwa yang positif dalam kehidupan hariannya dan ketika berhadapan dengan musibah.Sikapnya jauh berbeza dengan orang lain.Inilah kesan pengaruh daripada sujud.

Diantara pengaruh dan hasil sujud ialah :

1. ADA TANDA DI WAJAH MEREKA.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya keras terhadap orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka.Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keridhaannya, tanda-tanda mereka nampak di wajah mereka dari kesan sujud. (Al-Fath 29)

Perbahasan ulama’ tentang kesan sujud di wajah. Ianya disebut oleh Al-Hafiz Ibn Kathir didalam tafsirnya :

Ø Ibnu Abbas berkata bahawa maksud ayat tersebut ialah tanda yang baik.
Ø Mujahid dan lain-lain berkata “Maksudnya kekhusukkan dan tawadhuk.
Ø As-Sa’di berkata “ solat memperindahkan wajah mereka.
Ø Sebahagian ulama’ berkata “Sesungguhnya kebaikan itu cahaya dihati, sinar di wajah, rezeki banyak dan hati manusia menyintainya.
Ø Amirul Mukminin Uthman Ibn Affan berkata “Jika seseorang itu menyembunyikan sesuatu rahsia maka Allah menampakkannya diraut wajah dan ucapannya.

Ucapan Uthman Ibn Affan itu bermaksud “ Sesuatu yang di pendam didalam jiwa akan terlihat diraut wajah, jika hati orang mukmin itu baik dengan Allah SWT, maka Allah akan memperbaiki penampilannya dari pandangan manusia.

Saidina Umar Al-Khattab R.anhu berkata “Sesiapa yang memperbaiki hatinya, maka Allah memperbaiki dirinya ketikamana ia berada bersama orang lain.

2. MENINGGIKAN DARJAT DAN MENGHAPUSKAN KESALAHAN

Orang yang dekat dengan Allah SWT ialah orang yang banyak sujud kepadanya, oleh itu sesiapa yang meningkat hubungannya dengan Allah SWT maka Allah akan meninggikan darjatnya dan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.Sesiapa yang tawadhuk kepada Allah maka Allah akan mengangkat darjatnya dan tidak ada tawadhuk yang lebih baik dari sujud.

Mi’dan bin Abu Thalhah Al-Ya’mury berkata “Aku bertemu Thauban (bekas hamba Nabi) lalu aku bertanya kepadanya “Sebutkan kepadaku perbuatan yang apabila aku kerjakannya, Allah memasukkanku kedalam syurganya.”-atau ia berkata “Jelaskan kepadaku amal perbuatan yang paling disukai oleh Allah”. Tsauban diam.

Aku Bertanya lagi kepadanya, tetapi ia diam juga. Kemudian aku bertanya kepadanya untuk kali ketiga.Lalu ia berkata “Aku telah bertanya kepada RasuluLlah SAW perkara yang sama, lalu beliau bersabda “Hendaklah engkau banyak bersujud kepada Allah, sekiranya engkau sujud kepada Allah sekali sahaja maka dia meninggikanmu satu darjat dengan sujud itu dan menghapuskan kesalahanmu (H.R Muslim)

Bersambung…

No comments: