Saturday, October 24, 2009

SUJUD DAN KEHEBATANNYA - 2


3. MENGHILANGKAN DUKA

Sedih ketika berada dimedan dakwah berbeza keadaannya ketika bersedih dalam dunia yang lain.Seperti seoranglelaki yang bersedih kerana kematian si isteri, kesedihannya akan hilang bilamana berkahwin lain. Tetapi sedih didalam medan dakwah disebabkan kerana manusia tidak dapat menerima dakwahnya atau toghut mengganggu perjalanan dakwah atau apa sahaja rintangan yang dilakukan oleh mereka adalah kesedihan yang pernah menimpa RasuluLlah SAW.

Untuk meringankan kesedihan yang dihadapi oleh beliau,Rasulullah SAW telah mengerjakan solat.Allah SWT telah mengetahui apa yang akan berlaku kepada mereka yang menggabungkan diri dengan kontijen dakwah.Sebab itulah Allah SWT berwasiat kepada Rasulullah SAW dan kepada generasi selepas daripadanya supaya mengerjakan solat untuk meringankan kesedihan yang dihadapi.

Firman Allah SWT:

Maksudnya “ Dan kami mengetahui bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan, maka bertasbihlah dengan memuji tuhanmu dan jadilah kamu diantara orang-orang yang sujud.(Al-Hijr 97-98)

Sheikh Al-Alusi telah menghuraikan ayat ini (“Wakum minas Sajidin bermaksud “Jadilah kamu diantara orang-orang yang sujud”) maksudnya jadilah engkau termasuk orang-orang yang solat.

Rasulullah SAW juga bersabda yang maksudnya “Seorang hamba sangat dekat dengan tuhannya ketika ia sujud”. (Ruhul Ma’ani, jilid XIV, halaman 87, penerbit Ihya At-Thurath).

Sheikh Al-Alusi menyatakan hadith itu merupakan tips menghilangkan keresahan yang dirasainya.

Rasulullah pernah bersabda kepada bilal yang bermaksud “Hai bilal, iqamahlah untuk solat, hiburlah kita dengan solat. (H.R Ahmad)

Dengan solat juga, Rasulullah SAW mendapat ketenangan dari seluruh kesedihan dunia dan gangguan orang-orang kafir.

Al-Manawi juga menyebut bahawa diantarapengaruh solat bagi manusia ialah solat itu ubat penyembuh penyakit-penyakit hati, badan, sedih dan penderitaan.

4. MELAHIRKAN SIFAT SABAR

Firman Allah SWT yang bermaksud “Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan tuhanmu dan janganlah kamu ikuti orang berdosa dan orang kafir diantara mereka.Dan sebutlah nama tuhanmu pada waktu pagi dan petang dan disebahagian malam, sujudlah kepadanya dan bertasbihlah kepadanya pada waktu yang panjang di malam hari.( Al-Insan 24-26)

Sifat sabar adalah perkara yang amat penting bagi seorang penda’ie dalam dakwah mereka. Sekiranya seseorang penda’ie tidak memiliki sifat ini nescaya mereka tidak akan mampu untuk meneruskan perjalanan dakwah ini.

Sifat sabar itu lahir daripada pengaruh tasbih dan sujud sebagaimana yang disebutkan didalam ayat diatas.Sesiapa yang sabar dalam ibadah maka ia akan sabar dalam lapangan-lapangan yang lain.Sekiranya seseorang itu tidak sabar dalam beribadah, malas mengerjakannya dan jiwanya tidak bersemangat dalam melaksanakan ibadah maka mereka tidak mampu untuk bersabar bila berhadapan dengan bentuk-bentuk ujian dari Allah.

Sayyed Qutb Rahimahullah berkata tentang ayat diatas “Sabarlah dalam menghadapi gangguan dan fitnah.Sabarlah dalam menghadapi kebathilan yang bermaharajalela.Sabarlah diatas keburukan yang merebak.Lalu sabarlah dalam menyingkapi kebenaran yang diberikan kepadamu.Bersabarlah dan jangan dengar tawaran kemaslahatan peribadi dan pertemuan ditengah jalan dengan mengorbankan aqidah.

Sabar itu sulit, ianya perlu kepada bekalan yang berterusan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud “Dan sebutlah nama tuhanmu pada pagi dan petang. Dan di sebahagian malam, sujudlah dan bertasbihlah kepadanya diwaktu yang panjang pada malam hari. (Al-Insan 25-26)

No comments: